KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kemajuan Malaysia sebagai sebuah negara membangun mesti dipandu oleh empati dan belas ihsan, dengan memastikan tiada rakyat tersisih dalam mendapatkan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata aspek kemanusiaan merupakan teras utama konsep ‘Negara MADANI’, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembentukan nilai moral serta etika rakyat.
Sehubungan itu, Anwar yakin penubuhan Kolej Universiti IJN mencerminkan sinergi ideal antara kepakaran dan kemahiran negara, yang bukan sahaja menyediakan rawatan bertaraf dunia, tetapi turut berperanan sebagai pusat ilmu dalam melahirkan generasi profesional yang berilmu, beretika dan berihsan.
“Bayangkan kolej universiti ini menggabungkan pendidikan dan kesihatan yang menjadi tumpuan kita dalam agenda perubahan dan pembangunan negara. Negara ini mampu unggul dengan mutu pendidikan yang tinggi.
“Negara perlu lebih prihatin, empati dan berihsan kepada rakyat, dengan memastikan setiap warga tidak tersisih dalam menerima rawatan dan perkhidmatan perubatan yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kolej Universiti IJN di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Naib Canselor Kolej Universiti IJN Prof Emerita Dr Durrishah Idrus.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kejayaan ekonomi dan kecekapan pentadbiran tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan keadilan dan tanggungjawab sosial.
Beliau menegaskan bahawa kemajuan negara tidak bermakna sekiranya ia mengecualikan mana-mana lapisan rakyat, sama ada atas faktor kaum, geografi mahupun tahap ekonomi.
“Sebab itu perkara ini sering dibincangkan dalam Jemaah Menteri bagi mencari penyelesaian. Antaranya, baru-baru ini kita menambah 1,500 tempat baharu di universiti, mengambil kira bukan sahaja pelajar matrikulasi, tetapi juga pelajar Tingkatan Enam yang cemerlang.
"Saya yakin pada tahun-tahun akan datang, IJN akan menjadi antara pilihan utama anak muda kerana ia menghimpunkan kepakaran bertaraf dunia,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa sistem ekonomi dalam sektor kesihatan, pendidikan dan infrastruktur tidak seharusnya membebankan rakyat, kerana ketidakadilan dalam bidang tersebut hanya akan memperluas jurang ketidaksamarataan dan menekan rakyat.
Perdana Menteri berkata walaupun keuntungan dan kecekapan penting, syarikat-syarikat perlu mengambil berat terhadap kebajikan pekerja serta golongan kurang berkemampuan.
“Misalnya, jika syarikat mencatat keuntungan berbilion ringgit tetapi rakyat terbeban dengan kos perkhidmatan yang tinggi, ia tidak munasabah kerana keuntungan itu terlalu tinggi bagi satu kelompok.
“Sementara merekod keuntungan, perlu juga difikirkan kebajikan rakyat, pekerja dan kemudahan yang mereka peroleh, kerana dalam kalangan kita masih ada yang paling miskin memerlukan bantuan dan pertolongan,” katanya.
-- BERNAMA