AM

Lubang Benam Terbentuk Di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas

04/11/2025 10:53 PM

GEORGE TOWN, 4 Nov (Bernama) -- Sebuah lubang benam terbentuk di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini hari ini sehingga menyebabkan laluan berkenaan ditutup sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi kecemasan.

“Ia bagi memastikan keselamatan para pengguna jalan raya dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit serta mematuhi arahan anggota bertugas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

 Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan sebuah lubang benam berhampiran persimpangan jalan, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap risiko keselamatan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Zairil memaklumkan lubang benam yang terbentuk di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara itu berukuran 5 meter (m) panjang dan 3.5m lebar serta berdiameter 1.9m.

Beliau berkata JKR juga telah melaksanakan tindakan segera termasuk pemasangan penghadang plastik dan penutupan sementara jalan untuk tujuan lencongan trafik ke Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau serta Jalan Kedidi.

“JKR juga telah memohon kerjasama daripada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd untuk membuat siasatan aset, manakala punca sebenar masih memerlukan kajian terperinci.

“JKR komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan akan mengemas kini perkembangan dengan segera. Terima kasih atas kesabaran masyarakat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487186