MELAKA, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia mengulangi komitmennya untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang statistik dan tadbir urus data, bagi menyokong pembangunan inklusif dan mampan di seluruh ASEAN.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata Malaysia terus mengamalkan dasar berasaskan bukti, sambil memperkukuh rakan kerjasama serantau yang mendorong pertumbuhan dan daya tahan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Beliau berkata usaha tersebut sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada ketahanan ekonomi, transformasi digital dan kelestarian alam sekitar, bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia tetapi juga menyumbang secara bermakna terhadap kemajuan kolektif ASEAN ke arah rantau yang lebih terpadu dan bersedia untuk masa depan.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Jaringan Minggu Statistik ASEAN-Malaysia 2025, yang diadakan bersempena Sesi ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di sini, malam tadi.
“Melalui kerjasama rapat dalam ACSS, kita bukan sahaja memperkukuh keupayaan negara anggota dalam menghasilkan statistik yang tepat dan menyeluruh, tetapi juga memperteguh kepercayaan bersama dalam membina rantau ASEAN berasaskan data dan berpusatkan rakyat, yang lebih bersedia menghadapi cabaran global secara strategik,” katanya.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Hanifah berkata Perangkaan Malaysia (DOSM) terus mencatat pencapaian berimpak tinggi di bawah kepimpinan kementeriannya yang mencerminkan penekanan negara terhadap penggubalan dasar berasaskan bukti.
Antara pencapaian utama tahun ini termasuk Banci Pertanian 2024, penerbitan Laporan Interim pada Mei 2025, serta penganjuran Hari Statistik Kebangsaan dan Dunia 2025 di Pahang, yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh negara bagi memupuk keterangkuman dalam ekosistem data nasional.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia telah mencapai kedudukan pertama dunia dalam Indeks Data Terbuka (ODIN) 2024/25 dengan skor keseluruhan 90 peratus, mencerminkan komitmen berterusan DOSM dalam meningkatkan ketercapaian dan ketelusan data rasmi negara.
Hanifah yakin bahawa usaha Malaysia memperkukuh keupayaan statistik dan inovasi data akan terus menyokong kerjasama ASEAN serta memajukan matlamat bersama ke arah pembangunan mampan dan saksama.
“Biarlah malam ini menjadi kesinambungan semangat tersebut, menjalinkan persahabatan baharu dan mempererat hubungan lama dan menegaskan semula komitmen bersama terhadap kecemerlangan statistik. Semoga kerjasama ini terus subur, membawa kemakmuran bersama dan keamanan berkekalan kepada rantau kita dalam semangat ASEAN,” katanya.
DOSM turut diberi mandat untuk memengerusikan dan menganjurkan lima mesyuarat utama serta satu forum statistik serantau ASEAN bersempena Pengerusian ASEAN Malaysia 2025.
-- BERNAMA