Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan hari ini dengan lebih rendah, menjejaki prestasi suram pasaran serantau serta negatif di Wall Street.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 3.65 mata atau 0.23 peratus kepada 1,619.85 daripada paras penutup 1,623.50.
Indeks penanda aras itu dibuka turun 1.26 mata kepada 1,622.24.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 305 berbanding 100 manakala 292 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,945 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 237.78 juta saham bernilai RM80.22 juta.
Di pasaran serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.79 peratus kepada 25,952.40, Indeks KOSPI Korea Selatan susut 4.24 peratus kepada 3,947, Indeks Nikkei 225 Jepun merosot 2.49 peratus kepada 50,216.40 manakala Straites Times Singapura kekal tidak berubah pada 4,422.72.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi semalaman Wall Street lebih tertumpu kepada kebimbangan mengenai gelembung penilaian yang semakin berkembang berkaitan kecerdasan buatan (AI) apabila peniaga menyedari bahawa saham-saham berkaitan AI mengalami kenaikan terlalu tinggi dan menjangkakan berlakunya penurunan.
“Di peringkat tempatan, dagangan FBM KLCI suram sepertimana digambarkan oleh jumlah dagangan harian. Berikutan itu, kami menjangkan pergerakan indeks dalam julat 1,620 hingga 1,630,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare stabil masing-masing pada RM9.95, RM4.26 dan RM8.28 namun CIMB Group susut enam sen kepada RM7.49 manakala Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM13.32.
Selain itu, kaunter paling aktif, NexG Bina naik satu sen kepada 5.5 sen, Borneo Oil dan NexG kekal tidak berubah pada setengah sen dan 28 sen, MMAG menokok setengah sen kepada 14.5 sen manakala Zetrix AI turun setengah sen kepada 81.5 sen.
Bagi kaunter paling untung, Petronas Dagangan menambah 16 sen kepada RM22.76, Westports meraih lapan sen kepada RM5.18, United Plantations dan LPI Capital masing-masing naik enam sen kepada RM25.06 dan RM14.42 dan Deleum menokok empat sen kepada RM1.27.
Sebaliknya kaunter paling rugi didahului oleh PJBumi yang merosot 53 sen kepada RM1.24, Malaysian Pacific Industries susut 44 sen kepada RM30.12, Hong Leong Financial turun 14 sen kepada RM21.38, KESM Industries kehilangan 12 sen kepada RM3.40 dan Nestle menguncup 10 sen kepada RM112.90.
Di papan indeks pula, Indeks FBMT 100 turun 29.77 mata kepada 11,781.28 dan Indeks FBM Emas berkurangan 31.12 mata kepada 12,023.04.
Indeks FBM Emas Shariah turun 29.96 mata kepada 12,025.47, Indeks FBM ACE berkurangan 17.92 mata kepada 5,058.17 dan Indeks FBM Mid 70 menguncup 56.38 mata kepada 16,833.62.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 5.72 mata kepada 8,030.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan kehilangan 38.09 mata kepada 18,413.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.84 mata kepada 169.07 manakala Indeks Tenaga susut 2.90 mata kepada 763.85.
-- BERNAMA