KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan bahawa pada waktu ini tiada lagi harta berkaitan syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd yang masih dalam sitaan pihak penguat kuasa.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan siasatan pihak penguat kuasa pada awalnya telah menyita harta syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat lain yang berkaitan sebanyak RM118.7 juta pada 11 Nov 2021, bukannya pada November 2023 sebagaimana dilaporkan.
“Bagaimanapun harta sitaan tersebut telah dilepaskan selepas syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat lain yang berkaitan dikenakan kompaun.
“Tindakan penyitaan harta berkaitan syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan pihak-pihak berkaitan juga telah dilaksanakan antara Oktober dan Disember 2023 oleh pihak PDRM dengan nilai sebanyak RM71.3 juta,” menurut AGC.
Harta sitaan itu telah dilepaskan antara Oktober dan Disember 2024 apabila siasatan PDRM tidak dapat menunjukkan dengan kukuh harta sitaan berkenaan merupakan hasil daripada satu kesalahan.
Kenyataan AGC itu merujuk kepada laporan FMT pada 1 Nov 2025 bertajuk "Release frozen funds, say investors who won RM8mil case against tycoon".
Sementara itu, AGC berkata siasatan terhadap pengasas bersama MYAirline Sdn Bhd Datuk Allan Goh Hwan Hua, yang berpunca daripada siasatan terhadap syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan kumpulan syarikat yang berkaitan, masih dalam tindakan pihak PDRM.
"Kesalahan yang disiasat melibatkan transaksi komersial dan aliran wang yang kompleks. Buat masa ini, siasatan tersebut masih belum lengkap. Jabatan ini masih memantau dan meneliti kemajuan siasatan yang sedang dikendalikan," menurut AGC.
Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Goh dan empat syarikat yang dikaitkan dengannya memulangkan lebih RM8 juta kepada 15 pelabur selepas gagal membayar penebusan bulanan serta pulangan pembiayaan pelaburan.
Hakim Leong Wai Hong membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif (pelabur) berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Goh dan empat syarikat berkenaan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah memerintahkan defendan memulangkan semula sebanyak RM7.61 juta dan SGD170,000 kepada pelabur, serta membayar kos RM100,000 secara bersama atau berasingan oleh Goh dan defendan lain, iaitu i-Serve Online Mall Sdn Bhd (ISOM), Bright Moon Venture PLT (BMV), QA Smart Partnership PLT (QAS) serta Trillion Cove Holdings Bhd (TCH).
-- BERNAMA