AM

Ahmad Zahid Tiba Di China Untuk Mulakan Lawatan Kerja Empat Hari

04/11/2025 11:48 PM

Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar

SHANGHAI, 4 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini pada Selasa untuk memulakan lawatan kerja empat hari ke China.

Ketibaan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hongqiao pada 11.14 malam disambut Duta Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia ke Shanghai Mohd Shahafeez Shaharis.

Sebaik tiba di hotel penginapan, Timbalan Perdana Menteri disambut Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Norman Nasri.

Semasa berada di Shanghai, Ahmad Zahid dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Shanghai 2025, menghadiri Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelapan dan menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Shanghai Jiao Tong University (SJTU), satu daripada sembilan universiti terkemuka di China.

Lawatan itu atas undangan kerajaan China untuk menghadiri CIIE yang berlangsung di National Exhibition and Convention Center (NECC).

CIIE ialah inisiatif kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.

Ini kali pertama Timbalan Perdana Menteri menghadiri ekspo ini, dan kali kedua Malaysia menghadirinya pada peringkat tertinggi sejak kali pertama dianjurkan pada 2018. Pada tahun lepas, CIIE ketujuh dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam rangka lawatan kerja itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara turut dijadual menghadiri Majlis Perasmian Forum Kerjasama Industri-Pendidikan TVET Antarabangsa Malaysia-China kedua dan Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China keempat, serta akan menyampaikan ucaptama semasa majlis perasmian berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) akan merasmikan Pusat Informasi CIDBH dan Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), sebelum berlepas pulang ke tanah air pada Jumaat.

China adalah rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak 2009 dengan nilai dagangan antara Malaysia dan China ialah RM484.12 bilion pada 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).

Dalam sektor halal, Malaysia mencatatkan eksport halal bernilai RM61.79 bilion pada 2024, mewakili peningkatan 15 peratus daripada tahun sebelumnya.

China juga destinasi eksport halal kedua terbesar bagi Malaysia dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM7.04 bilion pada 2024.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487244