AM

Salah Laku Penjawat Awam: Kerajaan Bertindak Tegas, Pastikan Tidak Berulang - KSN 

05/11/2025 08:01 PM

IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerajaan sentiasa mengambil tindakan tegas dalam isu berkaitan salah laku penjawat awam khususnya yang melibatkan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Beliau berkata tindakan tegas itu diambil kerana salah laku sedemikian memberi implikasi besar terhadap imej dan kredibiliti negara.

“Maka ketegasan dalam tindakan adalah penting untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Perak di sini hari ini, yang disertai kira-kira 2,000 orang.

Program itu, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Datuk Dr Roslan Hussin.

Sehubungan itu, Shamsul Azri menyeru penjawat awam agar sentiasa berpegang kepada prinsip akauntabiliti, profesionalisme dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Beliau berkata setiap penjawat awam memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi rakyat terhadap kerajaan dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Shamsul Azri juga berkata integriti, ketelusan dan keberkesanan merupakan tunjang perkhidmatan awam yang diyakini rakyat, justeru beberapa pendekatan serta garis panduan telah diperkenal bagi memastikan matlamat ini dicapai secara menyeluruh.

“Antaranya arahan dan peraturan integriti adalah jelas bahawa mana-mana pegawai awam tidak dibenarkan untuk mengeluarkan kenyataan di media sosial yang boleh menjejaskan imej kerajaan melainkan mereka diberi kuasa rasmi untuk berbuat demikian.

“Ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, bertanggungjawab dan tidak mengelirukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata penjawat awam perlu berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan bekerja bukan untuk nama atau pujian tetapi kerana amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Selain itu, Shamsul Azri berkata penjawat awam perlu bersikap terbuka, sanggup menerima teguran, sedia mendengar pandangan dan memperbaiki kelemahan bagi mendekatkan diri dengan rakyat.

“Sikap menolak kerja dan suka mempersoalkan tanggungjawab sebaliknya hanya mencipta jurang dan rasa jauh antara rakyat dengan pentadbiran,” katanya sambil menambah penjawat awam perlu benar-benar memahami kesulitan rakyat sama ada golongan petani atau masyarakat bandar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487565