KUALA TERENGGANU, 10 Nov (Bernama) -- Sebanyak 316 syarikat di Terengganu berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi pelbagai kategori.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata daripada jumlah itu, produk makanan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 178 pensijilan, premis makanan (91), pengilangan kontrak (22), barangan gunaan (15), rumah sembelih (enam) dan kosmetik (empat).
Beliau berkata daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah syarikat tertinggi memperoleh sijil halal iaitu sebanyak 77, Kemaman (63), Dungun (48), Besut (31), Marang (35), Kuala Nerus (35), Hulu Terengganu (18) dan Setiu (sembilan).
“Kerajaan negeri menyambut baik perkembangan ini kerana ia menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pengusaha terhadap kepentingan pensijilan halal,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Zuraida Mohd Noor (PAS-Ladang) yang ingin tahu mengenai jumlah syarikat yang memiliki sijil Halal JAKIM di negeri itu.
Mohd Nurkhuzaini berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Bahagian Pengurusan Halal turut membantu pemohon secara menyeluruh dengan mengadakan Klinik My e-Halal secara berkala di setiap daerah bagi memastikan semua permohonan dapat diselesaikan dengan lancar.
"JHEAT turut bekerjasama dengan agensi pembimbing seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan agensi lain sekiranya diperlukan bagi memperkukuh proses pensijilan halal di negeri ini," katanya.
Beliau berkata antara syarat utama bagi pemohon sijil halal ialah syarikat perlu berdaftar secara sah, memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), mempunyai perakuan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) atau JPV (jika berkaitan) serta memastikan produk dihasilkan mematuhi sepenuhnya piawaian halal ditetapkan.
-- BERNAMA