PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini melancarkan bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan kesemua bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai hari ini hingga 5 Dis.
Bilik gerakan yang boleh dihubungi ialah Pejabat SPRM Kota Kinabalu menerusi talian 017-8478740/088-488381, Pejabat SPRM Cawangan Sandakan 089-668746/011-18669877 dan Pejabat SPRM Cawangan Tawau 089-772743.
Bilik gerakan lain ialah Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu 089-868769 dan Pejabat SPRM Cawangan Keningau 087-336761/016-5771521.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa menerusi e-mel prnsabah@sprm.gov.my,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang serta peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, tarikh penamaan calon pula pada 15 Nov manakala tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
-- BERNAMA