Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Ringgit meneruskan aliran meningkat apabila ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini, didorong oleh minat risiko yang lebih baik dan keyakinan yang meningkat terhadap kemungkinan penyelesaian isu penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Pada 6 petang, ringgit menokok sebanyak 0.4 peratus kepada 4.1555/1635 berbanding dolar AS daripada 4.1735/1775 semasa ditutup pada Jumaat, paras tertingginya dalam tempoh 13 bulan yang kali terakhir dicatatkan pada 4.1625 pada 2 Okt 2024.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan ringgit adalah sejajar dengan pengukuhan mata wang serantau yang lebih meluas, disokong oleh sentimen pasaran yang lebih baik.
“Kemungkinan berakhirnya penutupan kerajaan AS telah merangsang keyakinan dalam kalangan pelabur, dengan jangkaan bahawa aktiviti ekonomi di AS akan kembali pulih. Selain itu, data penting seperti petunjuk pasaran buruh akan turut diumumkan tidak lama lagi.
“Perkembangan ini dijangka mengukuhkan kebarangkalian untuk Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah pada Disember, yang akan terus menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen kepada 2.6954/7008 daripada 2.7192/7220 semasa ditutup pada Jumaat lepas, dan meningkat berbanding euro kepada 4.8071/8163 daripada 4.8154/8200 minggu lepas, tetapi menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4736/4842 daripada 5.4660/4713 sebelumnya.
Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1899/1963 daripada 3.2015/2048 Jumaat lepas, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 249.4/250.1 daripada 250.0/250.4 minggu lepas, naik berbanding peso Filipina kepada 7.05/7.06 daripada 7.07/7.08 sebelumnya, dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.8367/8670 daripada 12.8999/9174 pada minggu terdahulu.
-- BERNAMA