SEPANG, 11 Nov (Bernama) -- Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) yang akan diadakan setiap dua tahun sekali bakal menjadi platform bagi syarikat yang terlibat dalam pelbagai penyelesaian berkaitan pengangkutan untuk mempamerkan perkhidmatan masing-masing, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata, syarikat-syarikat berkenaan akan mempamerkan khususnya mengenai penyelesaian digital untuk industri ini.
Menurutnya, tema untuk TXA 2025 iaitu “Future on the Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics and ESG-Driven Supply Chains” yang mencerminkan aliran utama yang membentuk masa depan pengangkutan dan logistik di Malaysia serta seluruh rantau ASEAN.
Selain itu, katanya, tema berkenaan menekankan empat strategi perubahan yang akan memandu industri ini pada tahun-tahun akan datang.
“Tahun ini merupakan satu tahun permulaan apabila kita memperkenalkan pameran ini kepada industri pengangkutan dan bermula tahun depan kita akan mengadakan ekspo ini secara besar-besaran setiap dua tahun sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan TXA dan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2025 di sini hari ini.
Loke berkata TXA akan diadakan setiap dua tahun sekali bersama-sama Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dengan memberi tumpuan khusus kepada sektor pengangkutan.
“Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menjadi penganjur bersama LIMA dan juga Kementerian Pertahanan, tetapi kita berasa lebih sesuai Kementerian Pengangkutan memberi tumpuan kepada satu pameran berasingan yang khusus berkenaan sektor pengangkutan kerana LIMA lebih tertumpu kepada sektor pertahanan.
“Oleh kerana LIMA pun semakin besar dan ruang pameran semakin terhad, lebih baik kita kosongkan ruang itu untuk sektor pertahanan serta kita adakan satu pameran berasingan yang kita panggil sebagai Expo Pengangkutan Asia,” katanya.
Loke berkata TXA akan menjadi platform penting untuk menyatukan semua pemain industri dan pihak berkepentingan dalam sektor pengangkutan termasuk penerbangan, maritim, darat, kenderaan berat dan segmen logistik.
“Kita hendak tumpu kepada syarikat-syarikat teknologi maklumat (IT) yang dapat menawarkan penyelesaian digital kepada keperluan sektor pengangkutan baik dalam bidang penerbangan, maritim ataupun pengangkutan darat termasuk rantaian bekalan serta bagaimana dapat dipertingkatkan kecekapam mereka dari segi penggunaan digital dan teknologi,” katanya.
Beliau juga berkata TXA dijangka memacu pertumbuhan yang lebih besar dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana yang mampu berfungsi sebagai pemangkin bagi penyedia penyelesaian, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Kita melihat merata tempat di dunia ada pelbagai pameran khusus seperti pameran rel yang sangat hebat di Jerman. Jadi kita mengharapkan TXA ini dapat meletakkan Malaysia dalam peta pameran antarabangsa,” jelasnya.
Ditanya mengenai prestasi logistik Malaysia selepas mencatatkan peningkatan kedudukan ke-26 dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) 2023 oleh Bank Dunia, Loke berkata logistik harus dilihat secara menyeluruh dan bukan berdasarkan isu terasing (seperti perkhidmatan aerotrain).
"Jangan hanya tertumpu pada satu kawasan tertentu. Logistik adalah mengenai kecekapan keseluruhan, rantaian bekalan kita, pengangkutan darat dan pergudangan. Malaysia sangat menarik dalam memperkukuh ekosistem logistik ini," katanya.
Beliau menyebut Pusat Pengedaran Maersk yang baru dilancarkan menjadi satu daripada yang terbesar di rantau Asia-Pasifik dan ia sebagai cerminan daya tarikan Malaysia yang semakin berkembang.
“Ia merupakan pusat pengedaran canggih dengan anggaran pelaburan RM500 juta. Mempunyai pusat logistik pintar sebegini membantu meningkatkan pergudangan, penghantaran dan kecekapan keseluruhan yang semuanya menyumbang kepada indeks prestasi logistik Malaysia,” katanya.
Menteri Pengangkutan itu turut menekankan iaitu Malaysia akan terus menarik pelaburan logistik bernilai tinggi dengan memudahkan proses perniagaan dan peraturan.
"Bagi menarik lebih banyak pelaburan, kita perlu sentiasa melihat cara untuk mempermudah perkara, mempermudah peraturan serta mempermudah urusan perniagaan di Malaysia.
"Untuk itu kita mempunyai Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH dan Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya agenda ini. Bagi saya, kita di sini untuk memudahkan perniagaan, bukan untuk menyukarkannya.
"Pada saat anda menjadi lebih cekap, anda dapat mengurangkan kos dan menjadi lebih efektif dalam memudahkan perdagangan. Itulah komitmen berterusan kami," katanya.
-- BERNAMA