JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Serbu Pusat Panggilan Love Scam Sasar Warga Jepun, Tahan 13 Individu

11/11/2025 02:31 PM

SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Polis percaya berjaya melumpuhkan sebuah pusat panggilan dipercayai bagi kegiatan love scam atau penipuan cinta selepas menyerbu sebuah rumah di Kajang, Rabu lepas.

‎‎Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata hasil serbuan itu, pihaknya menahan 13 warga asing terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita.

‎‎Beliau berkata siasatan mendapati sindiket terlibat dalam penipuan berkenaan menyasarkan mangsa di Jepun menerusi akaun media sosial seperti Instagram dan Line dengan menggunakan akaun identiti palsu. 

‎‎"Sindiket dipercayai beroperasi sejak kira-kira tiga bulan dengan setiap ahli diarahkan membuat hantaran menerusi media sosial bagi menunjukkan akaun berkenaan aktif dan tulen.

‎‎"Setelah berjaya menarik perhatian mangsa, ahli sindiket mula berkomunikasi dengan mangsa dan menghantar mesej kepada mereka untuk mendapatkan nombor telefon peribadi, akaun media sosial Line, Instagram dan lain-lain," katanya pada sidang media di sini hari ini.

‎‎Shazeli berkata sindiket berkenaan juga mempunyai bahagian kewangan yang diuruskan oleh ahli sindiket lain menggunakan platform Telegram dan Signal sebagai medium komunikasi dalaman. 

‎‎Beliau berkata polis turut merampas 11 telefon bimbit dan komputer riba manakala kesemua individu terbabit kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.

‎-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489436