SUKAN

Pearly-Thinaah Enggan Dabik Dada Kejayaan Di Japan Masters

17/11/2025 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Selepas merangkul gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketiga musim ini di Japan Masters 2025 semalam, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah menegaskan perjuangan mereka masih panjang.

Thinaah yang mengimbas kembali kemenangan 22-20, 21-19 ke atas Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun di final kejohanan Super 500 di Kumamoto Prefectural Gymnasium, berkata mereka akan menikmati detik berkenaan tetapi tidak akan terlalu dibuai dengan kejayaan berkenaan.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, tetapi masih banyak perkara yang perlu kami pelajari dan perbaiki.

“Buat masa ini, kami akan meraikannya, tidak mendabik dada dan terus fokus pada cabaran seterusnya,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu, yang telah memenangi kejohanan Terbuka Thailand dan Terbuka Artik tahun ini, kini mendahului Iwanaga-Nakanishi dengan rekod pertemuan 7–2.

Kemenangan di Jepun juga membolehkan beregu wanita nombor dua dunia itu meraih hadiah USD37,525 (kira-kira RM155,190).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491725