EKONOMI

Sambutan Rasmi, Forum Perniagaan Dan Pertemuan Dua Hala Untuk PM Anwar Pada Hari Kedua Di Addis Ababa

19/11/2025 08:39 AM

Daripada M. Saraswathi

ADDIS ABABA, 19 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memulakan hari kedua lawatan rasmi beliau di sini dengan kunjungan ke Muzium Peringatan Kemenangan Adwa, sebuah mercu tanda kebudayaan ikonik bagi memperingati kemenangan bersejarah Ethiopia dalam Pertempuran Adwa pada 1896.

Bangunan yang menjadi simbol kebebasan Afrika dan pemerkasaan masyarakat kulit hitam, menjadi tumpuan ramai pengunjung selain lokasi pelbagai acara kebangsaan yang bukan setakat meraikan kemenangan ketenteraan, malah menyentuh aspek diplomasi, keberanian, perpaduan serta kebanggaan nasional.

Agenda Perdana Menteri seterusnya adalah melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske Selassie di Pusat Konvensyen Antarabangsa Addis dan kemudiannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan menghadiri Forum Perniagaan Peringkat Tinggi bagi Malaysia-Ethiopia.

Ini disusuli dengan majlis sambutan rasmi untuk Anwar pada sebelah petang di Istana Negara, termasuk memeriksa perbarisan kehormat serta acara menanam “Pokok Persahabatan.”

Perdana Menteri juga akan dibawa melawat Istana Negara yang memaparkan sejarah dan budaya Ethiopia serta menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali.

Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan satu MoU mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan.

Tidak ketinggalan, dokumen kolaborasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Pentadbir Banda Raya Addis Ababa yang memuktamadkan mekanisme bagi mengekalkan dialog strategik selain membuka ruang kerjasama jangka panjang untuk kedua-dua negara.

Seterusnya, Anwar dan Abiy Ahmed dijadual mengadakan sidang media bersama.

Agenda Perdana Menteri pada hari ini akan diakhiri dengan majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Abiy Ahmed.

Ini merupakan lawatan sulung Anwar ke Ethiopia dalam usaha Malaysia mempertingkatkan lagi hubungan dengan benua Afrika menerusi ibu pejabat Kesatuan Eropah di sini.

Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002, dianggotai 55 negara dan berperanan sebagai suara perwakilan benua itu di pentas global, termasuk menggalakkan kerjasama antarabangsa.

Lawatan Anwar selama tiga hari ke negara dikenali sebagai “Horn of Africa” atau Tanduk Afrika dan merupakan yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia, adalah sebagai lawatan balas selepas kunjungan rasmi Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober 2024.

Selain itu, lawatan berkenaan juga bagi meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak Januari 1965.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023 dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar dalam lawatan beliau ke benua berkenaan.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja yang bermula 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Anwar akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya pada 23 hingga 24 November, sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Malaysia berada lima jam di hadapan berbanding waktu tempatan di Ethiopia.

— BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492460