GAYA HIDUP

Mahu Sebar Kesedaran, Nasuha Sulaiman Impi Watak Gadis OKU

22/11/2025 10:10 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Baru setahun jagung dalam industri, pelakon baharu Nasuha Sulaiman mengimpikan membawa watak yang lebih mencabar bakat lakonannya seperti karakter Orang Kurang Upaya (OKU).

Nasuha yang mula dikenali menerusi drama bersiri Thariq Ridzuan: His Treasure berkata beliau mahu membantu membentuk persepsi masyarakat terhadap golongan tersebut, sekali gus menyebarkan kesedaran dengan menggunakan platform seni. 

“Pada saya, kehidupan OKU kurang diketengahkan dalam drama walaupun kita sering berdepan dengan mereka dalam kehidupan harian.

“Maksudnya, kalau di jalanan kita selalu nampak golongan seperti orang buta atau pekak, tetapi realiti dan perjalanan hidup mereka jarang dipaparkan dengan mendalam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di acara Wardah Colorfit x FMA (Fashionably Modest Asia 2025) baru-baru ini. 

Pemilik nama Wan Nasuha Wan Sulaiman itu juga sanggup mempelajari bahasa isyarat bagi meningkatkan kemampuan berinteraksi dengan golongan OKU pekak dan bisu, selain membantu menjiwai dan menjayakan watak dengan lebih realistik.

pic-2

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Nasuha baru selesai menjalani penggambaran telefilem 30 Juzuk Terakhir dengan membawa watak lebih berat dan penuh emosi, yang mencabar dirinya sebagai pendatang baharu dalam industri lakonan.

“Kali ini saya bawa watak Syakirah, anak sulung yang perlu tanggung banyak beban dan tanggungjawab, berbeza dengan personaliti saya sebagai anak bongsu. Selain nak faham karakter yang personalitinya lebih strong (kuat), watak ini juga memerlukan saya banyak menangis,” jelasnya.

Bekas pereka hiasan dalaman itu berkata pengalaman membawakan watak Syakirah banyak membuka ruang baginya untuk meneroka pelbagai emosi dan cabaran lakonan yang belum pernah dicuba sebelum ini. 

“Walaupun masih hijau dalam industri, saya mahu terus belajar dan perbaiki mutu lakonan dan saya  harap dapat terus menerima watak-watak mencabar yang bukan sahaja menguji kemampuan lakonan tetapi juga memberi mesej bermakna kepada penonton,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493761