GAYA HIDUP

Malaysia Jadi Hos Pelancaran Audio Filem "Jana Nayagan" Lakonan Vijay 27 Dis Ini

22/11/2025 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov  (Bernama) -- Malaysia bakal menganjurkan antara acara hiburan Asia Selatan terbesar tahun ini apabila pelakon terkenal India Selatan yang kini bergelar ahli politik, Vijay menghadiri pelancaran audio bagi filem terbaharunya ‘Jana Nayagan’ (Wira Rakyat) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Dis depan.

Acara mega yang dianjurkan oleh Malik Streams Corporation itu dijangka menarik lebih 85,000 orang, menjadikannya himpunan peminat Vijay terbesar di luar India.

Sambutan 10 jam bertemakan “Thalapathy Thiruvizha” itu akan menampilkan 30 penyanyi, persembahan langsung oleh pengarah muzik Anirudh Ravichander, penampilan artis-artis terkenal dari India dan Malaysia, serta lebih 40 lagu daripada filem-filem Vijay, termasuk lagu daripada filem ke-69 beliau, Jana Nayagan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Datuk Abdul Malik Dasthigeer yang bertemu sendiri dengan Vijay untuk memastikan Malaysia dipilih sebagai lokasi penganjuran, berkata negara ini dipilih kerana memiliki jumlah peminat Vijay terbesar di luar India.

“Malaysia bersedia meraikan Vijay dengan sambutan terbesar di luar India. Malaysia juga bakal menerima manfaat pelancongan dan ekonomi yang sangat signifikan daripada acara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya rancangan awal adalah untuk mengadakan pelancaran audio itu di Dubai, namun beliau berjaya meyakinkan pasukan produksi untuk membawa program itu ke Malaysia dan Vijay bersetuju.

pic-2

Tambahnya, acara itu akan disiarkan ke seluruh dunia melalui satelit dan platform digital, sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia dan meningkatkan profil Kuala Lumpur sebagai hab hiburan Asia Selatan.

Sambutan ini juga dijangka memberikan limpahan pelancongan yang kukuh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Vijay, antara bintang filem Tamil yang menerima bayaran tertinggi dan paling berpengaruh, baru-baru ini melancarkan parti politiknya Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dan telah diumumkan sebagai calon rasmi parti bagi jawatan ketua menteri dalam pilihan raya umum Tamil Nadu 2026.

Kemunculan di Bukit Jalil itu dijangka menjadi antara acara besar terakhirnya berkaitan filem sebelum beliau beralih sepenuhnya ke dunia politik.

Malik Streams Corporation turut memperoleh hak pengedaran filem ‘Jana Nayagan’ untuk pasaran Malaysia dan filem terbitan KVN Productions itu dijangka ditayangkan pada 9 Jan depan.

Vijay, 50, yang mesra dikenali peminat seluruh dunia sebagai “Thalapathy” (Panglima), memegang watak utama dalam Jana Nayagan bersama-sama dengan Pooja Hegde dan Bobby Deol.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493900