DUNIA

Trump Rugi US$1.1 Bilion Sejak September Apabila Harga Saham Syarikatnya Menjunam - Laporan

23/11/2025 07:29 PM

WASHINGTON, 23 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kerugian US$1.1 bilion sejak September akibat kejatuhan harga saham syarikatnya, Trump Media and Technology Group (TMTG), menurut Forbes.

Menurut penerbitan itu, nilai kekayaan bersih pemimpin AS itu susut kepada US$6.2 bilion, berbanding US$7.3 bilion pada September tahun ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menjelang September, kekayaan bersih Trump meningkat sebanyak US$3 bilion sejak awal tahun, menempatkannya di kedudukan ke-201 dalam senarai Forbes bagi 400 individu terkaya di AS, naik 118 tangga daripada senarai 2024, menurut majalah itu.

Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelaburan keluarga Trump dalam mata wang kripto.

Laporan berkenaan turut menyatakan yang presiden itu sebelum ini mengumumkan pemindahan pegangan sahamnya dalam TMTG, yang antara lain memiliki platform Truth Social, kepada sebuah dana amanah yang dikawal oleh anaknya, Donald Trump Jr.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494260