EKONOMI

MITI Pastikan Projek JV Syarikat Asing Beri Sumbangan Ketara Kepada Pasaran Tempatan

26/11/2025 10:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited dalam memastikan setiap projek usaha sama (JV) dengan syarikat asing memberikan sumbangan ketara terhadap pembangunan kapasiti dan kompetensi tenaga kerja tempatan.

Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu, MITI memaklumkan ia bagi membolehkan negara memaksimumkan limpahan ekonomi dan memastikan JV dengan syarikat asing berperanan sebagai pemacu pembangunan industri nasional secara mampan dan berimpak tinggi.

“MITI sentiasa memastikan bahawa projek JV dengan syarikat asing memberi nilai tambah sebenar kepada negara.

“Ia termasuk pembangunan kapasiti dan kemahiran tenaga kerja tempatan, serta penyertaan dalam aktiviti bernilai tinggi seperti kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan teknologi pembuatan maju, dan bukan sekadar terhad kepada aktiviti pemasangan atau operasi,” katanya. 

Selain itu, MITI menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjalankan beberapa inisiatif iaitu menetapkan syarat khusus bagi projek pelaburan yang diluluskan insentif cukai dan mengukuhkan ekosistem rantaian bekalan antara syarikat tempatan dan syarikat multinasional serta syarikat besar domestik.

MIDA turut membangunkan portal i-Services sebagai platform bagi menghubungkan penyedia perkhidmatan dengan pelabur termasuk pelabur asing dan mengoperasikan Platform Koordinasi Pelaburan Domestik (DICP) yang menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Pada masa sama, MIDA turut memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) di bawah Belanjawan 2025 yang akan dilaksanakan bagi sektor perkilangan bermula suku tahun pertama 2026 dan sektor perkhidmatan bermula suku tahun kedua 2026.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai langkah yang sedang dan akan diambil kementerian itu bagi memastikan projek JV dengan syarikat asing dapat memaksimumkan pembangunan kapasiti serta kompetensi tenaga kerja tempatan khususnya dalam fasa pembinaan dan pemindahan teknologi dan bukan hanya di tapak pemasangan dan operasi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495791