Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Menjayakan enam konsert mega pada tahun ini dengan sambutan ‘full house’ bukan pencapaian “biasa-biasa” dalam industri hiburan tempatan, tetapi itulah kehebatan trio legenda negara, KRU yang kekal tampil memikat peminat sejak lebih tiga dekad lepas.
Selepas mencipta fenomena menerusi konsert GenKRU yang berlangsung empat hari di ibu negara pada Mei lepas dan di Singapura pada Jun, kumpulan tiga beradik terdiri daripada Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim, tampil sekali lagi di pentas yang lebih besar.
Tiga beradik itu menghadiahkan “persembahan penutup” buat peminat mereka menerusi konsert The Finale: One More Time yang disaksikan oleh lebih 15,000 penonton di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu lepas.
pic-2
Kekal memukau penonton dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu hit seperti Awas, Mengerti dan Oh La La yang membuatkan penonton ikut sama bernyanyi dan berdansa di tempat duduk, kali ini trio itu turut memperkenalkan karya mereka yang jarang diperdengarkan antaranya Fobi dan Salah Siapa.
“Pernah dengar tak lagu tadi? Ni semua lagu-lagu rare, mungkin ada yang tak pernah dengar tapi kalau korang tahu memang betul-betul GenKRU lah,” ujar Edry sejurus selepas persembahan pembuka.
pic-3
Antara kejutan awal malam itu ialah kemunculan istimewa kumpulan Rabbani yang berduet menyanyikan lagu Intifada dan ini merupakan kali pertama KRU menyanyikan sendiri lagu nasyid ciptaan mereka itu secara langsung di pentas.
Kumpulan yang memulakan kerjaya seni pada 1992 itu turut menghadiahkan lagu baharu berjudul One More Time yang kali pertama diperdengarkan kepada umum.
Melengkapkan persembahan secara lebih matang, trio itu menyuntik elemen lebih segar pada edisi kali ini menerusi susunan muzik berbeza termasuk alunan brass yang menambah warna dan dinamik kepada lagu-lagu hit mereka.
pic-4
“Tak sangka kami adik-beradik dapat bergabung semula di atas pentas, ingatkan lepas konsert di Istana Budaya dulu (Konsert Gergasi KRU 25 pada 2018), ingatkan dah the end,” kata Norman.
Jika sebelum ini, penonton biasa melihat Yusry yang popular dengan lagu Dekat Padamu itu tampil solo, menariknya edisi kali ini memberi peluang penonton melihat Edry dan Norman juga bersinar secara individu tanpa dibayangi dua lagi ahli.
Menerusi Freaky G, Diari Metropolitan dan Go KRU, Norman membawa penonton mengimbau kegemilangan muzik hip-hop dan dancefloor klasik lengkap dengan persembahan penari break dance, membuktikan usia tidak melunturkan tenaga dan karisma pentas rapper berusia 53 tahun itu.
pic-5
Edry pula tampil berduet dengan artis jemputan Datin Juliana Banos yang membuat kemunculan semula setelah menyepi lebih 20 tahun, menerusi lagu romantis Sehidup Semati.
Namun persembahan yang agak singkat membuatkan penonton sedikit kecewa dan seperti tidak puas menghilangkan kerinduan kepada penyanyi Cinta Gila dan Mana Satu itu.
Bukan sahaja penyanyi, KRU turut membawa bintang media sosial Kasih Iris Leona dan usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida sebagai penampilan khas ketika mempersembahkan Gerenti Beres, menggamatkan stadium dengan sorakan penonton yang terhibur dengan gelagat mereka.
Di sebalik persembahan penuh tenaga, tentunya penonton tidak menyangka sebenarnya hati tiga beradik itu menyembunyikan keresahan berikutan keadaan kesihatan bapa mereka Abdul Halim Kamal, 84, yang dimasukkan ke hospital tiga minggu lepas akibat jangkitan hati.
pic-6
Edry yang berkongsi berita sedih itu di pertengahan konsert tidak dapat menahan sebak, namun kekal profesional selain menzahirkan terima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan karier mereka selama 33 tahun.
“Saya sedih kerana bapa berhajat untuk menonton konsert ini tapi tak kesampaian... minta doakan kesihatannya agar sihat seperti sediakala,” kongsinya sebelum meneruskan persembahan.
pic-7
Meskipun terdapat sedikit kekangan disebabkan stadium terbuka, termasuk sistem bunyi yang kadangkala sedikit pincang dan jarak penglihatan penonton agak jauh dari pentas, konsert The Finale: One More Time tetap berjaya melabuhkan tirai rangkaian GenKRU dengan penuh gaya.
Ia menjadi finale sempurna kepada lebih 30 tahun perjalanan karier KRU, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat peminat yang membesar bersama-sama karya dan evolusi muzik mereka.
-- BERNAMA