MARANG, 26 Nov (Bernama) -- Musim tengkujuh yang melanda saban tahun bukan sahaja mendatangkan musibah banjir tetapi menjadi lubuk rezeki buat sekumpulan pemuda dari Kampung Banggol Kapas di sini dengan kemunculan pelbagai spesies ikan sungai.
Rezeki yang hanya muncul setahun sekali itu membolehkan mereka menangkap sehingga lebih 200 kilogram (kg) ikan sehari di sungai Kampung Banggol Katong yang terletak bersebelahan kampung mereka, dengan hasil jualan hingga RM1,000 sehari.
Ahmad Nuresyam Japri, 35, berkata apabila tiba musim tengkujuh dia bersama 19 rakan sekampung yang lain akan bergilir-gilir memukat ikan menggunakan jaring dan bubu bermula waktu pagi hingga petang terutama selepas hujan lebat.
“Kita pasang dalam enam pukat jaring dan bubu. Spesies ikan yang biasa kita dapat ialah ikan lampam tetapi ada juga spesies yang agak sukar ditemukan dan mahal seperti ikan kelah, ikan terubuk dan ikan baung.
“Namun, tidaklah setiap hari kita akan dapat banyak ikan kerana ia hanya muncul apabila air sungai naik. Jadi selepas hujan lebat memang kita bersiap sedia untuk memukat ikan,” katanya kepada pemberita di sungai di Kampung Banggol Katong di sini.
Ahmad Nuresyam yang bekerja kampung itu berkata dia dan rakan-rakan menjual ikan yang ditangkap pada harga RM5 sekilogram (kg) untuk semua jenis ikan termasuk ikan yang agak mahal di pasaran.
Dia berkata ia bagi memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk merasai keenakan ikan sungai pada harga berpatutan.
“Selepas menaikkan ikan yang dipukat kami akan terus jual di wakaf yang terletak berhampiran sungai. Jadi ikan yang dijual sangat segar dan murah.
“Selain itu, ada juga orang luar yang datang ke kampung untuk membeli ikan sungai. Walaupun kami tidak pernah melakukan sebarang promosi termasuk di media sosial tetapi aktiviti jualan kami diketahui dari mulut ke mulut,” katanya.
Ahmad Nuresyam yang telah 20 tahun memukat ikan pada musim banjir berkata hasil jualan ikan sungai dibelanjakan mereka untuk aktiviti santai dan makan-makan bersama.
Sementara itu, seorang penduduk Mohammad Kamarudi Kassin,32, berkata dia tidak melepaskan peluang membeli ikan sungai pada harga yang sangat berpatutan itu setiap tahun.
“Kebiasaan saya akan beli dalam dua kilogram ikan sungai untuk dimakan bersama keluarga. Ikan sungai ini cukup sedap meskipun sekadar digoreng dengan garam dan kunyit serta dimakan bersama nasi panas dan budu,” katanya.
-- BERNAMA