POLITIK

Remysta Garis Enam Resolusi Termasuk Kepentingan Pendidikan, Kesihatan Di Moyog

26/11/2025 09:04 AM

PENAMPANG, 26 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog Remysta Jimmy Taylor menggariskan enam resolusi utama untuk membangunkan kawasan itu demi kesejahteraan penduduk sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata resolusi itu antaranya program tuisyen percuma kepada pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di DUN berkenaan.

“Bila ambil SPM tuisyen percuma. Kita mahu anak-anak ataupun adik-adik sama taraf pendidikan di Moyog. Persaingan sangat tinggi, bila keputusan bagus, ada tuisyen, boleh masuk universiti yang bagus. 

“Seterusnya cari kerja yang bagus dan boleh menjaga keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup serta ekonomi mereka,” katanya semasa berucap pada kempen Konsert Mega Remysta HARAPAN di sini malam tadi, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan.

Bagi memperkasakan TVET, Remysta berikrar akan membawa lebih banyak kursus kemahiran melalui kolej komuniti, Institusi Latihan Perindustrian (ILP) dan GiatMARA bagi membuka peluang pekerjaan kepada belia di Moyog.

Di hadapan lebih 2,000 hadirin, beliau turut membentangkan resolusi berkaitan aspek kesihatan termasuk penambahan klinik bergerak di kawasan seperti Kibabaig, Terawi, Pogunon, Timpangoh dan Maang untuk pemeriksaan asas serta rawatan segera.

Remysta juga berhasrat memperjuangkan pembinaan Hospital Penampang yang moden dan dilengkapi peralatan perubatan terkini bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, sekali gus memastikan akses rawatan lebih dekat untuk penduduk Moyog.

Beliau turut mengulangi komitmen untuk mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir selain berhasrat menjadikan Moyog sebagai hab pelancongan bagi memacu pendapatan komuniti setempat.

DUN Moyog dalam Parlimen Penampang antara 73 DUN dipertandingkan pada PRN Sabah ke-17  yang akan berlangsung, Sabtu ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N26: MOYOG: SABAH: 31,084

1. Peter Maurice Lidadun (Bebas)

2. Cleftus Stephen Spine (PIS)

3. Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO)

4. Francis Mojikan (PN-Bersatu)

5. Richard Ronald Dompol (PKS)

6. Ricky Chang Onn Pin @ Ricky Richard(Bebas)

7. Walter Norbert Johnny (PBK)

8. Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin (GRS-PBS)

9. Mcmery Victor Ninin (KDM)

10. Joseph Suleiman (STAR)

11. Terrence Siambun (WARISAN

12. Remysta Jimmy Taylor (PH-PKR)

 

(2020: Datuk Ignatius Darell Leiking, Warisan Plus-Warisan. Majoriti: 5,935)

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495348