KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- UEM Edgenta Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM94.12 juta untuk suku ketiga berakhir pada 30 September, 2025, berbanding keuntungan bersih RM10.23 juta setahun sebelumnya, disebabkan oleh rosot nilai bukan tunai sekali sahaja yang ketara bagi muhibah (goodwill), aset bukan semasa dan penghutang yang telah lama tertunggak.
Syarikat penyelesaian pengurusan aset dan infrastruktur itu dalam satu kenyataan berkata pendapatan untuk suku tersebut turun kepada RM770.8 juta daripada RM793.2 juta pada suku sama tahun lepas.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Shaiful Subhan berkata kumpulan itu melihat prestasi suku ini sebagai penetapan semula struktur yang perlu sambil mengemudi peralihan antara kitaran konsesi.
“Adalah penting untuk menekankan walaupun kerugian dilaporkan, sebahagian besarnya berpunca daripada pelarasan lembaran imbangan bukan tunai sekali sahaja yang timbul daripada penilaian semula nilai bawaan aset dan pendedahan kredit kami.
“Pelarasan ini tidak menjejaskan kapasiti operasi atau kecairan UEM Edgenta. Aliran tunai operasi kami kekal positif, membolehkan kami mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin yang disokong oleh kecekapan operasi dipacu teknologi,” katanya.
Shaiful berkata asas kumpulan kekal kukuh, disokong oleh pertumbuhan pelbagai di pasaran antarabangsa, dan menyatakan keyakinan bahawa langkah strategik dilaksanakan akan meneutralkan halangan dan mengembalikan kumpulan kepada keuntungan yang mampan dalam jangka masa terdekat.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu melaporkan kerugian bersih sebanyak RM102.47 juta untuk sembilan bulan berakhir 30 September, 2025 berbanding keuntungan bersih RM32.56 juta setahun sebelumnya.
Pada masa sama, pendapatan merosot kepada RM2.15 bilion daripada RM2.23 bilion dalam tempoh sama.
Menurut pemfailan itu , penurunan itu mencerminkan tempoh peralihan yang sedang dilalui oleh kumpulan, disebabkan sumbangan terjemahan lebih rendah daripada anak syarikat asing dan tekanan margin yang ketara timbul daripada peningkatan kos operasi merentasi segmen utama terutamanya perniagaan konsesi penjagaan kesihatan.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia akan terus mengukuhkan asas operasi, memberi tumpuan kepada inisiatif pengoptimuman kos, menambah baik proses perniagaan, dan menyasarkan pemerolehan kontrak dalam pasaran pertumbuhan tinggi, iaitu Singapura, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
UEM Edgenta berkata pasaran ini menawarkan permintaan kukuh untuk model perniagaan hasil berulang berkualiti tinggi, dipacu perkhidmatan, merupakan teras kepada strategi pertumbuhan dan daya tahan pendapatannya.
“Digandingkan dengan penyelesaian berteknologi dan perkongsian strategik kami dengan pemain yang mantap di peringkat tempatan dan antarabangsa, UEM Edgenta memasuki suku terakhir tahun kewangan 2025 dengan momentum semakin kukuh dan keterlihatan yang jelas ke arah penciptaan nilai masa depan,” katanya.
-- BERNAMA