GAYA HIDUP

Penggunaan AI Tingkat Kecekapan Semakan Skrip Filem Asing

26/11/2025 12:44 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) --  Penggunaan kecerdasan buatan (AI) sejak Jun 2024 membolehkan proses semakan skrip filem asing oleh Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dipendekkan daripada 30 hari kepada tujuh hari.

Ketua Penolong Setiausaha Unit PUSPAL Ahmad Mahathir Mohd Hilmi berkata sistem AI dengan ketepatan hingga 70 peratus itu membantu mempercepatkan analisis kandungan skrip, termasuk menjana rumusan cerita serta melakukan saringan awal terhadap elemen sensitif seperti penggunaan senjata api, letupan, adegan lucah dan sensitiviti agama serta perpaduan kaum.

Beliau berkata sebelum ini semakan dilakukan sepenuhnya secara manual dengan tempoh ideal 14 hari, namun proses boleh mengambil hingga 30 hari sekiranya kandungan skrip memerlukan tapisan lanjut oleh agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia atau Kementerian Dalam Negeri.

“Sekiranya tiada isu berbangkit, dengan bantuan AI masa semakan skrip dapat dipendekkan kepada tujuh hari. Sebenarnya semakan boleh siap dalam tempoh sehari, tetapi keputusan tidak boleh dikeluarkan serta-merta kerana ia perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa PUSPAL yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi yang bersidang setiap minggu,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Ahmad Mahathir berkata sejumlah 48 permohonan semakan skrip telah diproses dari Jun 2024 hingga November 2025.

pic-2

“Kita mendapat maklum balas positif daripada syarikat produksi antarabangsa kerana tempoh menunggu yang lebih singkat memudahkan mereka merancang jadual penggambaran di Malaysia selain membantu meningkatkan nilai pelaburan di negara ini," katanya.

Selain itu, katanya kemudahan itu turut menyegerakan proses permohonan Film in Malaysia Incentive (FIMI) yang merupakan prasyarat utama.

Proses semakan dan kelulusan skrip diwajibkan untuk semua penggambaran filem dan cereka milik syarikat produksi antarabangsa yang ingin menjalankan penggambaran di Malaysia sebelum permohonan penggambaran penuh dikemukakan.

Syarikat produksi luar juga diwajibkan menggunakan syarikat produksi tempatan sebagai penaja tempatan  bagi menguruskan permohonan kepada PUSPAL.

“Walaupun hanya sebahagian kecil sahaja penggambaran dilakukan di Malaysia, kita tetap memerlukan skrip penuh bagi menilai keseluruhan jalan cerita serta memastikan lokasi penggambaran tidak melibatkan kawasan larangan atau isu berkaitan peraturan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Mahathir berkata Garis Panduan PUSPAL (GPP 6.0) yang berkuat kuasa pada 1 Mei lalu turut melalui penambahbaikan penting dengan memisahkan panduan penggambaran dan persembahan, berbeza dengan versi terdahulu yang menggabungkan kedua-duanya.

pic-3

“Versi baharu ini juga disediakan dalam dwibahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sebelum ini semuanya dalam bahasa Melayu dan keadaan itu menyebabkan penaja tempatan  terpaksa menterjemahkannya sendiri dalam bahasa Inggeris untuk rujukan penerbit luar,” katanya.

Beliau berkata agensi itu juga merancang menaik taraf sistem e-PUSPAL selewat-lewatnya pada 2027 bagi memperkukuh integrasi dengan agensi berkaitan.

Sementara itu, penaja tempatan Syarizan Md Isa yang juga penerbit Aquila Emas Sdn Bhd, menyambut baik pemendekkan tempoh semakan skrip namun berharap maklum balas daripada agensi berkaitan turut dipertingkat. 

Syarizan yang menguruskan semakan skrip filem The Penthouse terbitan Saidam Baryl LLC dari Kyrgyzstan, berkata produksi berkenaan telah selesai menjalani penggambaran di Kuala Lumpur pada Disember 2024 dan kini menunggu tayangan di negara tersebut.

“Ketika proses semakan skrip, ada isu berbangkit mengenai penggunaan senjata api yang memerlukan rujukan PDRM serta syarikat tempatan berlesen yang membekalkan peralatan tersebut sehingga mengambil masa yang cukup lama. Skrip itu selesai disemak dalam tempoh 30 hari.

“Keadaan itu menimbulkan kerumitan sehingga akhirnya penerbit luar membuat keputusan untuk membatalkan babak tersebut dan membuat pindaan skrip kerana kesuntukan masa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495429