TENOM, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 85 peratus atau 547 daripada 636 tapak pemasangan hab rangkaian gentian optik titik kehadiran (PoP) Fasa Dua di Sabah telah berjaya disiapkan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata pencapaian itu menjadikan Sabah antara negeri terpantas melaksanakan pembangunan infrastruktur gentian optik bagi memperluas capaian Internet di luar bandar.
Teo berkata kejayaan itu menempatkan Sabah sebagai zon kedua terpantas selepas Lembah Klang sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang digital antara bandar dan pedalaman.
“Untuk zon Sabah, kita nampak bahawa kos yang ditanggung oleh kerajaan mencecah RM1 bilion... kita bayar kos kepada syarikat telekomunikasi yang memenangi kontrak supaya mereka membangunkan infrastruktur gentian optik untuk kawasan ini, dan kita nampak penduduk serta sekolah sekitar juga boleh menerima manfaat daripada akses Internet yang lebih laju.
“Jadi, ini sememangnya usaha kerajaan untuk pastikan bahawa kawasan luar bandar dan pedalaman juga ada akses kepada Internet yang berkualiti tinggi,” katanya kepada Bernama ketika melawat tapak pemasangan PoP di SJKC Yuk Syn di sini hari ini.
Teo turut menguji kelajuan Internet di sekolah itu dan mendapati capaian yang direkodkan melebihi 900 megabait sesaat (MBps) meskipun lokasinya terletak kira-kira 161 kilometer dari Kota Kinabalu.
Beliau juga berkata keseluruhan 15 tapak PoP di Parlimen Tenom, yang membabitkan tujuh di DUN Melalap dan lapan di DUN Kemabong, telah disiapkan sepenuhnya namun kadar penggunaan masih rendah.
“Untuk DUN Tenom, sebenarnya pelanggan tak banyak, hanya 17 orang manakala untuk seluruh Sabah, pelanggan di bawah POP Fasa Dua ini adalah kira-kira 8,486 orang.
"Jadi, memang saya rasa lebih banyak lagi yang boleh dimanfaatkan menggunakan pakej yang kita sediakan khasnya untuk POP ini," katanya.
Teo berkata di Sabah, pengguna boleh menikmati kelajuan Internet sehingga 300 MBps dengan hanya RM35 sebulan bagi kontrak selama dua tahun, yang merupakan pakej khas diwujudkan untuk POP di negeri itu sahaja.
Beliau berkata dengan capaian Internet yang stabil dan laju, penduduk luar bandar kini berupaya melaksanakan aktiviti pendidikan, ekonomi digital dan e-dagang dengan lebih efektif.
-- BERNAMA