KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- MUFG Bank (Malaysia) Bhd menyediakan kemudahan modal pusingan kerja baharu berjumlah RM150 juta kepada Carsome Capital Sdn Bhd (Carsome Capital) iaitu cabang pembiayaan Kumpulan Carsome bagi mempercepatkan pertumbuhan pembiayaan automotif.
MUFG, Carsome dan JACCS Co Ltd (JACCS) dalam satu kenyataan bersama berkata, kemudahan baharu ini membentuk kerjasama di antara MUFG dengan Carsome Capital.
Kata kenyataan itu, kemudahan itu juga membolehkan penyelarasan operasi yang lebih rapat, mempromosikan inovasi kewangan sambil mengukuhkan keupayaan kumpulan untuk mengembangkan penyelesaian pembiayaan di seluruh rantau ini.
Pada April 2025, JACCS yang merupakan penyedia perkhidmatan kredit pengguna Jepun memperoleh 49 peratus pegangan dalam Carsome Capital dengan syarikat induk mengekalkan pemilikan sebanyak 51 peratus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara MUFG Malaysia Motohide Okuda berkata melalui kerjasama pihaknya bersama Carsome, kepakaran mendalam dan kehadiran kukuhnya dimanfaatkan di rantau ini bagi membangunkan penyelesaian pembiayaan yang boleh dikembangkan.
Katanya, kerjasama ini turut memberi impak yang akan mencipta nilai mampan jangka panjang untuk pelanggan.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Carsome Capital Malaysia Nicholas Wong berkata sokongan berterusan ini memberi syarikat sumber yang diperlukan untuk mengembangkan penyelesaian pembiayaan inovatif.
"Dengan sokongan ini, kami dapat mempercepatkan misi untuk melakukan perubahan ekosistem automotif selain memberikan nilai yang lebih besar kepada pembeli kereta serta pengedar kereta terpakai," tambahnya.
Ditubuhkan pada 2018, Carsome Capital menyalurkan lebih RM1.4 bilion dalam pembiayaan yang membolehkan 57,000 urus niaga di seluruh negara.
Menerusi kehadiran JACCS dan MUFG, Carsome Capital memperkenalkan pelbagai penyelesaian kewangan yang disesuaikan dan dibangunkan untuk meningkatkan aksesibiliti, mengukuhkan tadbir urus dan merangsang pertumbuhan serantau.
-- BERNAMA