Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives terus mengukuh untuk ditutup tinggi pada Rabu, disokong data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan penurunan keyakinan pengguna AS.
Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan jangkaan terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah pada Disember yang turut meningkatkan harga emas.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata aliran aset selamat itu bergerak ke paras tertinggi dalam julatnya apabila pasaran semakin yakin terhadap potensi penurunan kadar faedah pada Disember.
"Prestasi dolar AS kini lemah berikutan kemungkinan Kevin Hassett, seorang yang cenderung kepada dasar monetari kurang agresif, bakal mengetuai Rizab Persekutuan AS," katanya kepada Bernama.
Kontrak bulan semerta November 2025 meningkat kepada US$4,165.2 bagi setiap auns troy daripada US$4,129.3 setiap auns troy ketika ditutup pada Selasa, Disember 2025 menokok kepada US$4,182.3 setiap auns troy berbanding US$4,146.4 setiap auns troy semalam, dan Januari 2026 mengukuh kepada US$4,198.9 setiap auns troy daripada US$4,163.0 setiap auns troy sebelum itu.
Kontrak Februari, April dan Jun 2026 juga ditutup lebih tinggi pada US$4,215.2 setiap auns troy berbanding US$4,179.3 setiap auns troy semalam.
Jumlah dagangan susut kepada 45 lot daripada 115 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 149 kontrak daripada 151 kontrak sebelum itu.
Harga emas fizikal berada pada paras US$4,126.45 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 25 Nov, 2025.
-- BERNAMA