PASARAN

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS, Didorong Optimisme Penurunan Kadar Faedah AS

27/11/2025 07:25 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila cakap-cakap mengenai kemungkinan pengurangan kadar faedah di AS semakin mendapat perhatian.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1305/1345 berbanding dolar AS daripada 4.1360/1385 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran semakin cenderung kepada kemungkinan pengurangan kadar faedah AS pada Disember, dengan penurunan selanjutnya dijangka pada 2026.

“Jangkaan terhadap pengecilan jurang antara Kadar Dana Rizab Persekutuan AS dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia kemungkinan menyokong pengukuhan ringgit.

“Keadaan ini lebih ketara kerana Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan OPR, mungkin sepanjang 2026,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 2.6417/6444 daripada 2.6438/6456 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding euro kepada 4.7823/7869 daripada 4.7862/7891.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding pound British kepada 5.4576/4629 daripada 5.4492/4525.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1817/1850 daripada 3.1847/1869 ketika ditutup semalam, dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8097/8285 daripada 12.8308/8433.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 248.3/248.6 daripada 248.2/248.4 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.02/7.04 daripada 7.02/7.03.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496196