GAYA HIDUP

Dulu Juruaudit Kini Aktres, Thasha Krishnakumar Tinggalkan Kerjaya Tetap Demi Minat

30/11/2025 01:55 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kebanyakan orang mungkin teragak-agak untuk meninggalkan kerjaya yang stabil dalam sektor korporat bagi menceburi dunia hiburan, namun buat  pelakon Thasha Krishnakumar, langkah itu perlu.

“Saya memang minat berlakon, namun saya berhati-hati untuk bergiat dalam bidang itu kerana sedar akan risikonya.

“Apatah lagi bagi wanita yang sebaiknya menyertai industri hiburan ketika usia masih muda, kerana sesetengah watak mempunyai had umur,” kongsinya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Sebelum melibatkan diri dalam dunia lakonan, Thasha, 31, menghabiskan empat tahun bekerja sebagai juruaudit dengan dua firma perakaunan antarabangsa, namun sedar akan kekangan usia yang menanti membuatkan beliau nekad meninggalkan kerjaya itu. 

Bagi memastikan kestabilan kewangan semasa tempoh peralihan kerjaya, Thasha memulakan perniagaan dalam talian dengan jenama Kedailah pada 2021 yang mencipta nama di Instagram sebelum berkembang ke platform TikTok.

pic-2

Perjalanan lakonannya bermula dengan sebuah filem pendek yang disiarkan menerusi YouTube bertajuk Unnodu Naan Iruppen, karya Naavin Samrat yang diterbitkan pada 2018.

Bakat lakonannya dalam filem itu menarik perhatian pengarah tempatan terkenal Dr Vimala Perumal, yang menawarkan beliau watak pembantu dalam Tamiletchumy 2. Thasha kemudian muncul dalam filem cereka pertamanya Undercover Rascals sebelum diberi kepercayaan memainkan watak utama dalam siri bertemakan haiwan peliharaan, Ramarajan.

Detik besar dalam kerjayanya hadir melalui siri Astro Vinmeen, Uppuroti Chidambaram, arahan Shalini Balasundaram, menyaksikannya memainkan watak antagonis buat pertama kali, dan katanya  peranan itu membuka peluang baharu dalam kerjayanya.

“Orang mula mengenali saya termasuk kanak-kanak dan orang tua,” kata anak jati Seremban itu yang turut muncul dalam Pasanga 3.

Musim ketiga daripada francais Pasanga dengan lebih 200 episod itu akan mula bersiaran pada 8 Dis ini. Penggambaran untuk separuh pertama telahpun selesai, sementara penggambaran episod berbaki akan bersambung pada Januari depan.

pic-3

Tidak hanya memberi tumpuan pada bidang lakonan, Thasha juga lantang bersuara tentang kebajikan artis tempatan termasuk soal jadual penggambaran yang tidak konsisten sehingga menyukarkan pelakon untuk menampung kehidupan.

“Adakalanya kami menjalani penggambaran selama sebulan dan selepas itu sebulan lagi tanpa kerja. Jadi struktur bayaran yang baik amat penting,” katanya, menambah pada masa sama beliau mendapati ramai artis Tamil tempatan berhijrah ke industri filem di India disebabkan oleh  peluang yang terhad dan cabaran kewangan di negara ini.

“Mungkin Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dapat tampil memberikan dana atau bekerjasama menerbitkan filem yang seterusnya akan memberikan lebih banyak harapan kepada pengarah dan pelakon baharu,” katanya. 

Thasha mendedahkan beliau juga pernah menjadi mangsa buli siber, terutama ketika bersiaran langsung di platform TikTok, dan sekalipun peraturan telah diperketat, aktres ini berpendapat didikan sepatutnya bermula di rumah.

“Kalau orang nak membuli, mereka akan cari jalan untuk berbuat demikian. Segalanya bermula di rumah, anak-anak harus dididik agar bercakap yang baik-baik dan menghormati orang lain,” katanya, menambah beliau menangani isu buli siber dengan mengimbangi ketegasan dan kesabaran serta hanya memberi respons apabila perlu.

Anak bongsu daripada tiga beradik yang kesemuanya perempuan ini dibesarkan oleh ibu tunggal selepas bapanya meninggal dunia ketika berusia 12 tahun, justeru Thasha amat menyanjungi ibunya yang tabah memupuk sifat berdikari, ketabahan dan disiplin kewangan dalam dirinya. 

Lulusan perakaunan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga mengakui tidak kisah memainkan watak pembantu “asalkan wataknya penting, saya gembira untuk melakonkannya.”

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497178