GAYA HIDUP

Alumni Aswara Pentaskan Teater Muzikal Paduka Cik Siti

01/12/2025 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kisah keperkasaan pemerintah wanita legenda Cik Siti Wan Kembang, bakal diangkat ke pentas melalui teater muzikal Paduka Cik Siti di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya selama tiga hari bermula 19 Dis ini.

Pementasan anjuran Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu diarahkan oleh Kamarulzaman Taib atau Che Kem, dengan menghimpunkan tenaga kreatif alumni daripada generasi awal hingga terkini dalam bidang teater, muzik, tari, seni reka dan seni persembahan.

Che Kem berkata teater muzikal tersebut menyingkap kisah epik Cik Siti Wan Kembang, ratu legenda abad ke-17 yang dikaitkan dengan Kijang Emas dan pernah memerintah Tanah Melayu (Kelantan).

“Perjuangan Cik Siti Wan Kembang bukan sahaja memerintah negeri sehingga menjadikan Tanah Serendah Sekebun Bunga masyhur dengan pentadbiran sistematik, tetapi turut melalui cabaran prejudis pembesar lelaki serta mempertahankan kedaulatan negeri daripada ancaman Siam,” katanya dalam kenyataan.

pic-2

Beliau berkata penyanyi Asmidar Ahmad dipilih untuk memegang peranan utama sebagai Cik Siti Wan Kembang manakala Dr Norzizi Zulkifli membawa watak Seri Banun, bonda kepada pemerintah legenda itu.

Turut membintangi pementasan itu ialah Taqim Zaki sebagai Panglima Merah, Syukor Ibrahim Bachik dan Sharul Mizad sebagai Raja Siam.

“Watak Cik Siti Wan Kembang memerlukan pelakon yang anggun, matang serta bijaksana dan Asmidar memiliki kualiti tersebut. Beliau juga lulusan vokal klasik dengan kelebihan pelbagai genre serta berpengalaman dalam teater tradisional Mek Mulong dan produksi pentas seperti P. Ramlee, Puteri Gunung Ledang dan Dendam Laksamana,” menurut Che Kem.

Che Kem berkata muzikal itu menggabungkan semangat kontemporari dengan keunggulan tradisi melalui gabungan pelbagai elemen persembahan seperti makyung, wayang kulit, muzik, tari dan penggunaan teknologi visual moden.

“Gabungan elemen tradisional dengan teknologi kreatif dan seni reka produksi yang dominan menjanjikan persembahan hebat dengan elemen cinta, sedih, komedi serta pertarungan yang menghiburkan. Lagunya mudah, mesra telinga dan meninggalkan rasa puas pada penonton,” katanya.

pic-3

Beliau berkata produksi itu digerakkan pasukan seni berpengalaman termasuk Suflan Faidzal Arshad sebagai pengarah muzik melalui karya seperti Badarsila nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, selain gandingan koreografer Azura Abal Abbas dan Failul Adam yang membawa sentuhan gerak tari berjiwa Melayu.

Teater muzikal Paduka Cik Siti mengisahkan Cik Siti Wan Kembang yang ditabal sebagai pemerintah selepas kemangkatan Raja Husein demi menyempurnakan amanah almarhum ayahandanya, Raja Ahmad.

Baginda menolak lamaran raja-raja luar demi menjaga maruah negeri, berdepan cabaran pembesar, ancaman Siam serta pergolakan jiwa seorang wanita yang memendam rasa cinta demi rakyat dan takhta.

Pementasan teater muzikal itu dibuka dengan Malam Gala pada 8.30 malam (19 Dis), diikuti pada 3 petang dan 8.30 malam (20 Dis) dan 3 petang (21 Dis).

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi cloudjoi.com dengan harga antara RM40 hingga RM150.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497454