GAYA HIDUP

Konsert Dia Misha Omar Tampilkan Vokal Konsisten, Sarat Emosi

01/12/2025 11:01 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Konsert DiA Misha Omar di Mega Star Arena pada Sabtu lalu menjadi medan mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan kemunculan penyanyi bersuara lantang itu dalam persembahan berskala besar selepas lebih tiga tahun.

Dihadiri lebih 5,000 penonton yang memenuhi setiap ruang arena, penyanyi kelahiran Machang, Kelantan ini membuai jiwa peminat menerusi rangkaian 21 lagu hit, termasuk beberapa medley yang seakan merungkai pelbagai episod percintaan dalam nuansa berbeza.

Dari kisah cinta tidak kesampaian, hati yang terluka tanpa rela hinggalah perasaan rindu yang masih bersisa, semua emosi itu berpadu menjadi alunan yang turut sama dilagukan peminat, menjadikan suasana dewan tenggelam dalam penghayatan.

pic-2

Tampil elegan dalam persalinan serba hitam, Misha, 43, membuka persembahan dengan medley Hati Keliru, Terpana dan Bunga-Bunga Cinta, menonjolkan kematangan vokal pemenang tiga kali Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu itu yang sering digelar ‘penyampai cerita’ melalui nyanyiannya.

Ternyata pentas malam itu menjadi saksi usaha gigih pemilik nama sebenar Samihah @ Aisah Omar ini yang kembali menekuni latihan vokal dengan Datuk Syafinaz Selamat sejak 2018, menghasilkan kawalan suara mantap dan konsisten sepanjang konsert.

pic-3

“Kalau dengan menyanyi boleh menyampaikan rasa hati, saya sanggup melakukannya seumur hidup,” kata Misha, menggambarkan betapa bermaknanya setiap persembahan bagi dirinya yang sinonim dengan penghayatan mendalam.

Mengambil peluang mendekati peminat, Misha muncul dari tempat duduk penonton sambil menyampaikan lagu Angin Syurga dan Semoga Abadi, memicu sorakan dan keterujaan apabila peminat dapat melihatnya dari jarak lebih dekat.

Bagi Misha, peminat merupakan hadiah paling berharga yang membuatkan dirinya terus bertahan dalam industri selama dua dekad.

pic-4

Konsert itu juga menjadi ruang untuknya memberikan penghormatan kepada pemuzik legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, melalui Adnan Tribute Medley.

“Waktu saya masuk Bintang RTM 2001, saya kalah. Tapi beliaulah yang percaya dengan bakat saya. Katanya suara saya ‘biasa sahaja’, tetapi ada rasa sedih yang boleh disampaikan. Kata-kata itulah yang saya pegang sehingga hari ini,” kenangnya.

Menerusi medley ciptaan komposer tersohor itu, Jerat Percintaan (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Gubahan Rindu Puisi Syahdu (Fauziah Latiff) dan Renungan Terakhir (Datuk Nora Ariffin),  Misha memberi sentuhan tersendiri, menambah magis baharu kepada lagu-lagu tersebut.

Misha juga melakukan kejutan buat peminatnya apabila menampilkan anaknya Muhammad Idris Ezzwa, 9, sebagai rakan duet untuk lagu berbahasa Inggeris Destiny.

pic-5

I’m back! Do you still remember me? Do you miss me?” ujar si cilik yang mencuri perhatian penonton dengan celoteh dan gelagatnya dalam segmen solo sebelum itu.

Tidak dapat disangkal vokal dan penghayatan Misha memukau sepanjang malam, namun terdapat beberapa segmen yang dirasakan sedikit mendatar berikutan ketiadaan elemen kejutan, visual tambahan atau penampilan rakan duet seperti yang dijangkakan sesetengah penonton.

Akan tetapi, mungkin kesederhanaan itulah yang menjadi daya tarikan Misha Omar seperti Bunga-Bunga Cinta yang tidak memerlukan kilauan untuk terus mekar dan meninggalkan kesan mendalam di hati setiap penonton.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497363