GAYA HIDUP

Empat Filem Kolaborasi Malaysia-Indonesia Sasar Pasaran Asean

01/12/2025 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Industri filem Malaysia terus mencuri perhatian serantau apabila empat projek kolaborasi Malaysia–Indonesia bernilai RM20 juta diumumkan di Jogja-NETPAC Asian Film Festival Market (JAFF Market) 2025.

Acara itu berlangsung pada 29 Nov hingga hari ini di Jogja Expo Centre, Yogyakarta, Indonesia.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat projek yang bakal menampilkan gabungan bakat terbaik Malaysia dan Indonesia itu ialah Munafik, Khurafat, Khadam dan Badut Gendong.

“Inisiatif ini menzahirkan peningkatan keyakinan rakan industri Indonesia terhadap bakat serta infrastruktur perfileman Malaysia. Ia juga mengukuhkan usaha Malaysia mendepani pasaran serantau melalui penyatuan ekosistem produksi Nusantara," menurut kenyataan itu.

Bagi filem Munafik akan melibatkan pembikinan semula yang kini dalam fasa pascaproduksi, diarahkan Guntur Soeharjanto dan dibintangi Arya Saloka serta Acha Septriasa serta melibatkan kerjasama Unlimited Productions, Skop Productions, Komet Productions, A&Z Films dan Legacy Pictures. 

Filem Khurafat arahan Syamsul Yusof yang pernah mencipta fenomena genre seram di Malaysia juga akan menjalani pembikinan semula, dengan edisi Indonesia bakal diarahkan oleh Zahir Omar melibatkan barisan kreatif utama Indonesia. 

pic-2

Produksi dari dua negara ini juga akan bergabung menerusi filem seram-drama Malaysia, Khadam dibintangi Aghniny Haque dan Remy Ishak, arahan Shamyl Othman dengan Entertainment sebagai penerbit eksekutif baharu. Projek berkenaan turut melibatkan Red Communications, Komet Productions, Sil-Metropole dan Applause Entertainment. 

Selain  itu, projek terlibat adalah filem seram Indonesia Badut Gendong arahan Charles Gozali dengan kerjasama pelbagai penerbit Malaysia termasuk Komet Productions, Skop Productions dan Astro Shaw. Filem itu dibintangi Marthino Lio, Dayinta Melira, Clara Bernadeth dan Derby Romero. 

"FINAS terus memperkukuh ekosistem perfileman negara apabila mengetuai delegasi Malaysia ke JAFF Market 2025 bersama 12 syarikat produksi tempatan, dengan fokus memacu kerjasama strategik Malaysia– Indonesia bagi memperluas kehadiran kandungan Nusantara di pasaran ASEAN,” menurut kenyataan itu. 

FINAS percaya lebih banyak projek bersama dapat direalisasikan pada masa hadapan seiring komitmen kerajaan memperkukuh industri kreatif melalui pembangunan bakat, fasiliti studio bertaraf dunia serta insentif penggambaran seperti Film In Malaysia Incentive (FIMI), menurut kenyataan itu. 

Syarikat Malaysia yang menyertai Booth Malaysia di acara itu ialah Skop Productions, Komet Productions, Infinitus Productions, 555 Film, Suraya Film Production & Distribution, Rubber tapper Production House, Red Intrade, SOL Pictures, Creative Stew Production, Kristal Azmir, Sheunik dan D Ayu Pictures.  

Selain penyertaan rasmi FINAS, beberapa syarikat Malaysia turut membuka reruai sendiri termasuk Rumah Karya Citra  diwakili oleh pengarah dan pelakon Erma Fatima serta Chinese Film Association of Malaysia. 

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497564