GAYA HIDUP

Sekuel Filem Fantasi Magika Dijangka Temui Peminat Pada 2027

01/12/2025 03:04 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Selepas mencetuskan fenomena pada 2010, filem fantasi popular Magika bakal kembali dengan sekuel yang dijangka menemui penonton pada 2027.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUESB) Datuk Norman Abdul Halim berkata filem berjudul Magika 2 itu kini di fasa awal pembangunan dengan tumpuan utama pada penghasilan skrip.

“Saya masih dalam peringkat perbincangan dengan Yusry (Datuk Yusry Abdul Halim) dan Edry (Edry Abdul Halim)... Skrip sedang dibangunkan dan kami sasarkan untuk dimuktamadkan menjelang pertengahan suku pertama tahun depan.

"Proses penggambaran pula dijangka bermula sekitar Julai hingga September tahun depan, sebelum memasuki fasa pascaproduksi bagi memastikan tayangan dapat direalisasikan pada 2027,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Norman berkata beberapa watak daripada filem Magika pertama akan diberi nafas baharu dalam sekuel tersebut, selain penambahan beberapa watak lain termasuk Merong Mahawangsa, Raja Bersiong dan Sang Kancil.

Beliau berkata pihaknya juga telah menghubungi beberapa nama besar industri hiburan untuk turut serta dalam projek berkenaan, dan setakat ini reaksinya positif.

“Untuk filem Magika yang pertama, kami berjaya mendapatkan barisan pelakon ‘A-list’ dan legenda. Untuk sekuel ini pun kami mahu kekalkan standard sama.

"Kami telah bertanya kepada beberapa artis dan mereka memang berminat, cuma saya belum boleh umumkan. Apabila tiba masanya nanti, saya akan umumkan,” katanya sambil menegaskan bahawa sekuel itu akan mengekalkan format aksi nyata.

pic-3

Menurut Norman, cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memastikan naskhah baharu tersebut kekal relevan dengan cita rasa penonton masa kini, terutama apabila ia mengangkat elemen cerita legenda.

Filem Magika pertama yang diarahkan Edry dibintangi barisan pelakon popular antaranya Diana Danielle, Ziana Zain, Datuk M. Nasir, Ning Baizura, Datuk Aznil Nawawi, Maya Karim dan Datuk Jalaluddin Hassan selain turut dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).

Semalam, KRUESB dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) menandatangani memorandum persefahaman membangunkan Magika Studios, sebuah taman tema ekopelancongan dan didik hibur yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

Taman tema itu akan turut menampilkan persembahan animatronik dan audio visual berdasarkan watak-watak filem Magika dengan elemen pemeliharaan alam sekitar.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497488