JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Kelantan Peroleh Lebih RM160,000 Hasil Lelong 113 Kenderaan

30/11/2025 03:11 PM

KOTA BHARU, 30 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan memperoleh RM167,560 hasil lelongan 113 kenderaan pelbagai jenis membabitkan 114 pembida hari ini.

Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata bidaan tertinggi ialah RM15,500 melibatkan Mini Cooper diikuti motosikal Yamaha RXZ RM12,100.

“Program lelongan awam bukan sahaja untuk mengurangkan jumlah kenderaan tidak dituntut di depoh tahanan kenderaan sita tetapi langkah menjana hasil kerajaan melalui garis panduan yang sah dan berintegriti,” katanya kepada pemberita selepas lelongan awam itu di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Misuari berkata lima buah lori disita kerana membawa muatan melebihi 50 peratus dalam OPS Perang Lebih Muatan bagi tempoh dari 14 Okt hingga 27 Nov.

“Kenderaan berat seperti ini memberi risiko kepada pengguna jalan lain seperti muatan jatuh, jalan rosak, serpihan tayar berselerakan dan kegagalan brek berfungsi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu sebanyak 7,472 kenderaan diperiksa dengan 2,822 notis saman dikeluarkan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497203