PETALING JAYA, 1 Dis (Bernama) -- Seorang kelindan lori didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki video dan gambar lucah di dalam telefon bimbitnya, minggu lepas.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menjatuhkan hukuman itu selepas S.Thanaraj, 32, mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Jalan Masjid Bandar Utama dekat sini pada 12.30 tengah hari 23 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal namun peguam Datin Raj Preet Kaur memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan.
Thanaraj juga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menipu seorang pelajar berusia 15 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan pelbagai barang kemas bernilai RM15,000 di sebuah rumah di Jalan Kenyalang, Kota Damansara di sini pada 26 Okt lepas.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang mengaku tidak bersalah berdepan hukuman minimum penjara setahun maksimum 10 tahun, dan sebatan serta denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Feb 2026 untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA