AM

Tiada Rombakan Kabinet Besar-besaran, Hanya Keperluan Isi Kekosongan - PM Anwar

01/12/2025 12:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Tiada rombakan Kabinet secara besar-besaran akan dilakukan dalam masa terdekat, sebaliknya tumpuan kini hanya kepada pengisian beberapa kekosongan yang wujud, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun terdapat desakan dan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet, Anwar menjelaskan bahawa pertimbangan semasa menunjukkan tiada keperluan untuk perubahan menyeluruh memandangkan tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI kini hanya berbaki sekitar setahun setengah.

“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Namun, rombakan besar tidak sesuai kerana Kabinet ini hanya akan berfungsi untuk tempoh setahun lebih atau setahun setengah.

"Jadi, saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan. Walau bagaimanapun, saya sedang meneliti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengisi kekosongan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik (EV) pertama Perodua di sini hari ini.

Spekulasi mengenai rombakan Kabinet kembali menjadi tumpuan susulan beberapa menteri dan timbalan menteri berstatus Senator dijangka menamatkan penggal perkhidmatan mereka awal bulan ini.

Antara yang terlibat ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497393