AM

Aktiviti Songsang: DBKL Perkukuh Pemantauan Pematuhan Syarat Lesen - Dr Zaliha

01/12/2025 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mengeluarkan lesen perniagaan berdasarkan permohonan namun ada premis menjalankan aktiviti di luar skop perniagaan termasuk perbuatan tidak bermoral selepas lesen diluluskan.

"Contohnya, kalau dia kata untuk lesen pembukaan spa, kita benarkan… tetapi aktiviti yang dilakukan selepas daripada itu adalah di luar kawalan kita… itu yang kadang-kadang kita jumpa aktiviti-aktiviti yang selain daripada apa yang telah mereka mohon dalam lesen tersebut," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai sejauh mana peranan DBKL dalam memantau dan mengawal premis seperti spa supaya tidak disalah guna termasuk untuk aktiviti songsang.

Sebelum ini, sejumlah 208 individu termasuk 17 penjawat awam ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit di sini.

Dr Zaliha berkata DBKL melaksanakan beberapa langkah bagi mengatasi masalah itu termasuk melakukan pemantauan secara berkala ke atas premis berlesen bagi memastikan pematuhan syarat.

Beliau berkata KL Strike Force, yang merupakan operasi penguatkuasaan bersepadu, juga diaktifkan melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan akan mewujudkan persaingan sosial lebih mencabar khususnya persaingan mendapatkan perumahan, peluang pekerjaan, akses kepada kemudahan awam serta ruang bandar yang berkualiti.

Beliau berkata keadaan itu juga berpotensi meningkatkan jurang sosial, berlaku pemusatan kelompok pendapatan mengikut kawasan serta menekan kesejahteraan komuniti sedia ada susulan peningkatan kos sewaan dan pengangkutan harian.

Sehubungan itu, Dr Zaliha berkata kerajaan melaksanakan pendekatan seperti Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 bagi mendepani cabaran tersebut.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai kesan sosial daripada pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan terhadap masyarakat setempat terutama dalam aspek persaingan sosial dan peningkatan kos sara hidup.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497427