JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Didakwa Guna Kad Perniagaan Dengan Gelaran Datuk Palsu

01/12/2025 03:44 PM

SEREMBAN, 1 Dis (Bernama) – Seorang lelaki berusia 50 tahun hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kad perniagaan dengan gelaran ‘Datuk’ palsu.

Ahmad Zailani Ali mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Dia didakwa menggunakan tiga kad perniagaan dengan gelaran Datuk tanpa kebenaran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 11.30 pagi 25 Nov lepas di parkir Seremban Gateway di sini mengikut Seksyen 3 (1) (a) Enakmen Lambang, Anugerah dan Gelaran (Negeri Sembilan) 2017, Enakmen 11.

Jika sabit kesalahan, Ahmad Zailani berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Muhammad Adam Hassan memohon jumlah minimum atas alasan anak guamnya bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap dan menanggung isteri serta tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 15 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497511