KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melancarkan TaniStats 2.0 sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh agenda transformasi digital perkhidmatan awam berasaskan data.
TaniStats 2.0 adalah sebuah gerbang digital statistik pertanian bersepadu yang dipertingkatkan daripada versi awalnya yang diperkenalkan pada Mei 2025.
Pelancaran disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semasa Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Putrajaya.
DOSM menerusi kenyataan memaklumkan, TaniStats 2.0 dibangunkan secara dalaman sebagai platform pintar bersepadu yang mengintegrasikan pelbagai sumber data pertanian negara termasuk dapatan Banci Pertanian 2024, data pentadbiran agensi, harga agromakanan, indikator keterjaminan makanan dan maklumat rantaian bekalan di bawah satu ekosistem digital.
“Pembangunan TaniStats 2.0 ialah tonggak transformasi pengurusan data pertanian negara yang menyokong teras ketiga gagasan Malaysia MADANI, iaitu Daya Cipta yang menekankan inovasi, pembaharuan dan pengupayaan modal insan untuk mengubah masyarakat daripada sekadar pengguna kepada masyarakat yang aktif mencipta dan menyumbang kepada kemajuan negara.
“TaniStats 2.0 turut menyokong agenda Reformasi Sektor Awam khususnya dalam memperkukuh pendigitalan perkhidmatan kerajaan, integrasi data antara agensi dan tadbir urus data yang lebih moden serta responsif.
"Ia selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan ekosistem perkhidmatan awam yang lebih bersepadu, cekap dan berasaskan data hampir masa nyata,” menurut kenyataan itu.
TaniStats 2.0 menghimpunkan data huluan dan hiliran termasuk rantaian nilai produk pertanian dari ladang kepada pengguna bagi pelbagai komoditi terpilih, selain menampilkan statistik keterjaminan makanan merangkumi bekalan, penggunaan dan keseimbangan makanan.
“TaniStats 2.0 menampilkan pelbagai penambahbaikan utama yang memperkukuh fungsi platform sebagai hab data pertanian negara. Melalui Modul CitraTani - Analitik Pertanian, pengguna dapat meneliti trend pengeluaran, tahap produktiviti, sokongan input, serta maklumat subsektor secara terperinci mengikut kawasan.
“Sistem ini turut dilengkapi visualisasi interaktif dan geospatial, yang memaparkan peta digital bagi memantau zon pengeluaran, kawasan kritikal dan risiko keterjaminan makanan dengan lebih menyeluruh,” katanya.
TaniStats 2.0 turut diperkuatkan dengan Agrobot, pembantu pintar berasaskan kecerdasan buatan generatif yang membantu pengguna menavigasi portal, mendapatkan penjelasan segera dan melakukan analisis awal dengan lebih efisien.
Dalam pada itu, DOSM turut mencatatkan pencapaian bersejarah apabila Malaysia buat julung-julung kalinya menduduki tangga pertama pada peringkat global dalam laporan dwitahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.
“Pencapaian ini lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23. OpenDOSM NextGen adalah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
-- BERNAMA