SUKAN

Sukan SEA: Malaysia Mudah Atasi Filipina, Bakal Berdepan Thailand Di Separuh Akhir

07/12/2025 08:24 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 7 Dis (Bernama) -- Malaysia mara ke separuh akhir acara berpasukan lelaki badminton selepas mudah menewaskan Filipina 3-0 pada saingan suku akhir Sukan SEA Thailand 2025 di Pathum Thani, di sini hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium 4, Universiti Thammasat Kampus Rangsit itu, perseorangan utama negara yang juga pemain nombor 29 dunia Leong Jun Ho menghadiahkan mata pertama untuk Malaysia apabila menundukkan Angelo Albo, 21-17, 21-18 dalam masa 44 minit.

Skuad negara menggandakan mata menerusi beregu Man Wei Chong-Soh Wooi Yik, yang mengambil masa hanya 26 minit untuk menumpaskan Solomon Jr. Padiz-Julius Villabrille, 21-10, 21-12.

Perseorangan kedua negara, Justin Hoh kemudian mengesahkan tempat separuh akhir buat Malaysia apabila mengetepikan Clarence Villaflor, 21-18, 21-19, sekali gus bakal berdepan tuan rumah yang mengalahkan Myanmar 3-0.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menyifatkan anak buahnya secara keseluruhan telah menampilkan persembahan yang mantap dan berpuas hati melihat pemain dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan berkesan. 

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky turut memuji usaha yang ditunjukkan barisan pemainnya tetapi mengingatkan pemain saingan pasti akan lebih sengit apabila turun menentang tuan rumah esok. 

“Pemain perlu memberikan sepenuh tenaga mereka menentang Thailand esok,” katanya kepada Bernama.

Kemenangan itu memastikan Malaysia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki. 

Terdahulu, pasukan wanita juga menempah tempat di separuh akhir buat pertama kali sejak edisi 2019 di Filipina, selepas bangkit menewaskan Vietnam 3-1. 

Temasya Sukan SEA Thailand 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499893