AM

AKPS Rampas Sayur, Makanan Laut Tidak Patuh Syarat Import

08/12/2025 03:57 PM

ALOR SETAR, 8 Dis (Bernama) -- Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas pelbagai jenis sayur dan makanan laut selepas pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata antara yang dirampas adalah sayur-sayuran yang tidak mempunyai perakuan pengedaran, pembungkusan dan pelabelan serta yang tidak diisytihar.

“Turut dirampas udang putih melebihi isytihar, udang galah tidak diisytihar, isi ikan dan isi tiram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dianggar RM62,804 dan kes disisat mengikut Seksyen 11(1) dan Seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Mohd Nasaruddin berkata kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500067