Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 9 Dis (Bernama) -- Sukan petanque bukan sekadar permainan membaling bola besi ke arah sasaran, sebaliknya mampu menjadi medium terbaik untuk mengurus emosi, mendidik kesabaran serta meningkatkan fokus dalam kehidupan seharian.
Bagi atlet kebangsaan Syed Akmal Fikri Syed Ali, lebih dua dekad hidupnya dihabiskan di gelanggang petanque, menjadikan sukan itu sebagai ‘ruang terapi’ yang membantunya mengawal tekanan serta kemarahan.
Beliau yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini berkata, pengalaman di gelanggang turut diaplikasikan dalam kehidupan harian, terutama ketika berdepan tanggapan atau kritikan orang luar.
“Petanque sangat menuntut kesabaran. Ketika berada dalam bulatan untuk membuat lontaran, tiada suara dibenarkan, tiada pergerakan… semuanya perlu dilakukan dengan tenang. Situasi itu mengajar saya mengawal emosi.
“Dalam kehidupan sebenar, saya terapkan perkara sama. Apabila orang bercakap buruk mengenai saya, saya gunakan pengalaman dalam ‘gelung’ itu untuk bertenang dan berfikir secara rasional sebelum memberi apa-apa kenyataan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pegawai Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu yang berperanan sebagai shooter, turut menjadikan setiap lontaran sebagai cara melepaskan tekanan.
Beliau berkata sifat unik sukan petanque yang memerlukan ketenangan dan fokus tinggi menjadikannya sesuai untuk semua peringkat usia, baik sebagai rekreasi mahupun sukan kompetitif.
“Petanque bukan saja satu aktiviti riadah, tapi bantu membentuk peribadi, mengawal emosi dan tingkatkan keyakinan diri. Saya sangat menggalakkan lebih ramai mencuba,” katanya yang telah memenangi dua emas Sukan SEA masing-masing acara doubles dan triples lelaki sejak debut pada 2011 di Indonesia.
Pada edisi kali ini, atlet kelahiran Dungun, Terengganu berusia 28 tahun itu akan bertanding dalam acara triples campuran, bergandingan dengan Saiful Bahri Musmin dan adiknya, Sharifah Aqilah Farhana, antara prospek pingat emas negara.
Kemunculan di Bangkok lebih bermakna apabila dua lagi adiknya, Syed Afiq Fakhri dan Sharifah Afiqah Farzana turut menyertai saingan masing-masing dalam acara triples lelaki dan doubles campuran.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, petanque sudah lama sebati dalam keluarganya.
“Ayah saya jurulatih skuad kebangsaan. Jika sebuah kereta ada enjinnya, ayahlah enjin dalam kehidupan saya, khususnya dalam petanque.
“Saya bermain petanque sejak usia 10 tahun hingga sekarang. Adik-beradik saya juga mewakili negara dalam sukan ini, ibu saya turut bermain petanque dan begitu juga isteri saya. Hari ini, kami dapat buktikan bahawa anak-anak ‘Cik Li’ (panggilan ayah) boleh pergi sejauh wakil Malaysia,” katanya.
Sukan petanque yang menawarkan keseluruhan 11 pingat emas akan membuka tirai saingan bermula esok sehingga 15 Dis di Universiti Valaya Alongkorn Rajabhat, Pathum Thani.
Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF) menetapkan sasaran empat pingat tanpa mengira warna bagi skuad petanque kebangsaan pada edisi kali ini.
Sebagai rekod, kem negara meraih satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada edisi lepas di Kemboja.
-- BERNAMA