PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur

11/12/2025 09:48 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup bercampur-campur hari ini, di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan pengeluaran pada minggu-minggu akan datang, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Katanya, permintaan MSM yang lemah juga dijangka memberi kesan ke atas sentimen pasaran.

"Kami melihat sokongan pada paras RM4,000 dan rintangan pada RM4,180," katanya kepada Bernama. 

Pada penutup, kontrak Disember 2025 menambah RM10 kepada RM4,010 setan, Januari 2026 meningkat sebanyak RM5 kepada RM4,046, manakala kontrak Februari 2026 kekal tidak berubah pada RM4,063. 

Bagaimanapun, kontrak Mac 2026 berkurangan sebanyak RM8 kepada RM4,074 setan, April 2026 susut RM10 kepada RM4,083 dan Mei 2026 merosot RM11 kepada RM4,083. 

Jumlah dagangan menokok kepada 99,894 lot berbanding 93,865 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 267,153 kontrak daripada 268,266 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan susut RM10 kepada RM4,070 setan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501579