PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyelaras proses pendaftaran dan penyaluran bantuan sebanyak RM500 seorang kepada pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan susulan bencana yang melanda wilayah Aceh dan Sumatera Utara.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu selaras dengan pengumuman kerajaan hari ini.
“KPT juga akan memastikan semua proses dilaksanakan secara teratur bagi meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata KPT menyambut baik dan menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keputusan kerajaan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan.
Beliau berkata sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan sejarah persaudaraan yang akrab, KPT menyokong penuh usaha itu dalam memastikan kebajikan pelajar diberi perhatian, terutama ketika mereka berdepan situasi getir jauh daripada keluarga.
Zambry pada masa sama berkata KPT turut memberi perhatian kepada pelajar Malaysia di Aceh, termasuk pelajar yang menuntut di beberapa institusi pendidikan di wilayah itu.
Beliau berkata bagi menjamin keselamatan dan kebajikan mereka, KPT akan menyalurkan bantuan khusus termasuk bantuan kewangan RM500 seorang serta sokongan tambahan mengikut keperluan semasa.
Menurut Zambry, KPT juga memutuskan agar satu bentuk bantuan khusus turut dipanjangkan kepada kumpulan pelajar Malaysia yang terkesan, selaras dengan semangat kepedulian yang dizahirkan Kerajaan MADANI.
“KPT kini sedang berhubung rapat dengan pihak Education Malaysia (EM) di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai lengkap pelajar Malaysia di Aceh dan menilai tahap keperluan mereka.
“Tindakan susulan akan diambil segera termasuk penyelarasan bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang serta apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan,” katanya.
Zambry berkata KPT turut mendoakan keselamatan semua pelajar Malaysia dan rakyat Indonesia yang terlibat dalam bencana itu, dan diberikan kekuatan menghadapi ujian itu.
-- BERNAMA