KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Pemaju hartanah, Eastern & Oriental Bhd (E&O) melancarkan rumah kelab pertama dan presint komersial di Bandar Elmina, Sungai Buloh.
Menurut E&O dalam kenyataan, rumah kelab dan presint komersial itu terletak di Seri Embun, perbandaran perintis E&O di Elmina.
Pengarah Urusannya, Kok Tuck Cheong berkata pemilik rumah hari ini bukan sekadar membeli hartanah, malah turut melabur dalam gaya hidup yang mencerminkan aspirasi mereka terhadap kesihatan, reka bentuk dan komuniti.
“Visi kami untuk Seri Embun, yang diperkukuh oleh rumah kelab ini, adalah untuk membina persekitaran kehidupan yang meraikan nilai-nilai tersebut, sekali gus menawarkan keseimbangan yang unik antara kecanggihan, kelestarian dan ketenangan,” katanya.
Rumah Kelab E&O Elmina menjadi nadi kepada Seri Embun, sebuah kawasan kediaman peribadi dan selamat dalam presint berpagar serta berpengawal dengan akses terkawal.
Menurut kumpulan itu, rumah kelab tersebut mempertingkat kualiti hidup penduduk sebagai hab gaya hidup utama, mencipta pengalaman premium berinspirasikan resort di tengah-tengah landskap yang subur dan ruang hijau yang direka khusus untuk menggalakkan kemudahan berjalan kaki serta interaksi komuniti.
“Antara kemudahan yang disediakan ialah gimnasium, kolam renang, kolam kanak-kanak, dewan serba guna, taman permainan kanak-kanak, taman landskap, taman herba, teres taman, laman acara, laman yoga, wakaf, surau dan jakuzi, semuanya disepadukan dengan teliti dalam persekitaran yang subur dan menenangkan,” katanya.
Menurut E&O, melengkapi pencapaian ini ialah pelancaran Laman Embun, koleksi pertama lot komersial E&O di Elmina.
“Dengan harga bermula daripada RM2.46 juta, presint pegangan bebas ini terletak strategik pada kedudukan kurang 500 meter dari perbandaran baharu Seri Embun, sekali gus menawarkan peluang menarik kepada pelabur dan pemilik perniagaan yang mencari lokasi berhadapan dengan jalan utama dalam kawasan perbandaran yang sedang pesat membangun,” katanya.
Meliputi 6.11 hektar tanah pegangan bebas yang amat bernilai, Laman Embun menampilkan 110 unit pejabat kedai dua dan tiga tingkat, dengan keluasan daripada 3,256 hingga 10,883 kaki persegi.
“Dengan saiz lot bermula daripada 22’ x 75’, pembangunan ini menawarkan fleksibiliti untuk menampung pelbagai konsep runcit, makan minum dan gaya hidup,” katanya.
Diperkukuh oleh Rumah Kelab E&O Bandar Elmina dan presint komersial Laman Embun, katanya kehadiran E&O di Elmina mencerminkan penyatuan ini — ruang untuk kediaman, rekreasi dan keusahawanan digabungkan bagi mencipta komuniti yang dinamik dan berdaya lestari kendiri.
“Lembah Klang dijangka memacu sebahagian besar pertumbuhan ini, diterajui oleh pemilik rumah dan pelabur berwawasan yang melihat hartanah bukan sekadar aset, tetapi sebagai asas kepada kehidupan holistik jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA