KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat handai Editor Visual Astro AWANI Mohd Kusairi Ishak, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, malam tadi.
Menerusi catatan di Facebook, beliau menzahirkan rasa dukacita menerima perkhabaran tersebut.
“Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Media melaporkan, Allahyarham Mohd Kusairi, 52, meninggal dunia dalam kemalangan berhampiran susur ke Restoran Jejantas Sungai Buloh, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Sabtu.
Mohd Kusairi merupakan antara tenaga kreatif yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan video berita dan kandungan media sosial Astro AWANI.
-- BERNAMA