JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Tahan Bot Nelayan Asing Ceroboh Perairan Terengganu

16/01/2026 07:49 PM

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot asing yang cuba menceroboh perairan negara selepas mengejarnya selama hampir sejam, semalam. 

Pengarah APMM Terengganu Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata kejadian berlaku pada 12 tengah hari dan bot pukat tunda dinaiki tiga kru termasuk tekong itu ditahan pada kedudukan kira-kira 144 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Beliau berkata ketika dikesan, kru bot yang berusia antara 19 hingga 45 tahun sedang menarik pukat untuk menangkap hasil laut.

“Bot itu cuba melanggar bot peronda APMM yang melakukan rondaan bagi mengelak ditahan dan melarikan diri sebelum berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamiludin berkata pemeriksaan mendapati bot itu beroperasi tanpa lesen dan dokumen sah serta menggunakan peralatan menangkap ikan tidak dibenarkan.

Jumlah nilai rampasan termasuk bot, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan kira-kira RM1.5 juta.

Beliau berkata kru dan bot dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 serta undang-undang berkaitan.

Jika sabit kesalahan, pemilik bot boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM6 juta kerana menceroboh perairan Malaysia atau menangkap ikan tanpa permit sah manakala setiap kru boleh dikenakan denda sehingga RM600,000.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513308