KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan sebanyak 41 pegawainya dikenakan tindakan tatatertib termasuk buang kerja dalam tempoh 2022 hingga 2025 selepas didapati bersalah terlibat kes berkaitan pasport terbang.
Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata daripada jumlah itu, 20 pegawai telah dijatuhkan hukuman buang kerja, dengan tindakan yang diambil mencerminkan komitmen jabatan untuk menangani isu tersebut.
“Tindakan ini diambil hasil siasatan yang telus dan berlandaskan peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria mengulas kenyataan media Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada Isnin lepas berhubung siasatan terhadap dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selain itu, beliau berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 61 kes yang dirujuk EAIC telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.
“JIM menegaskan setiap kes dirujuk EAIC akan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi. Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Zakaria berkata JIM menghormati peranan serta fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan dan memandang serius setiap dapatan serta syor dikemukakan, selain mengambil tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib ditetapkan.
Beliau berkata JIM akan terus memperkukuh pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi meningkatkan pemantauan dalaman dan melaksanakan langkah penambahbaikan berterusan dalam memastikan perkhidmatan yang profesional dan berintegriti demi memelihara kepercayaan rakyat serta kepentingan negara.
Pada Isnin, EAIC mengesahkan berlaku salah laku membabitkan seorang pegawai imigresen dalam aktiviti pasport terbang di KLIA pada 2 Jun tahun lepas dengan suspek memasukkan butiran maklumat seorang penumpang yang masuk ke Malaysia ke dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran fizikal di kaunter pemeriksaan.
-- BERNAMA