DUNIA

Perancis Negara Terbaharu Bakal Larang Penggunaan Media Sosial Bagi Kanak-Kanak Bawah 15 Tahun

27/01/2026 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Perancis menjadi negara terbaharu menggubal undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah usia 15 tahun berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap impaknya ke atas kesihatan mental dan pembangunan kanak-kanak.

Rang undang-undang itu diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan Perancis pada Isnin dan akan dibentangkan di Senat untuk kelulusan.

Menyifatkan perundangan itu sebagai "langkah besar" dalam melindungi kanak-kanak secara dalam talian, Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa Senat supaya mempercepatkan proses itu agar larangan berkenaan dapat dikuatkuasakan seawal sesi persekolahan akan datang pada 1 Sept 2026, lapor Anadolu Ajansi.

“Kerana otak anak-anak kita bukan untuk dijual. Bukan kepada platform Amerika mahupun rangkaian China. Kerana impian mereka tidak boleh ditentukan oleh algoritma.

“Kerana kita tidak mahu generasi yang cemas, sebaliknya generasi yang percaya kepada Perancis, Republik ini, dan nilai-nilainya,” tulis beliau dalam Bahasa Perancis di laman X.

Langkah Perancis itu menyusuli undang-undang bersejarah Australia yang mengenakan larangan penggunaan media sosial di seluruh negara bagi kanak-kanak di bawah 16 tahun berkuat kuasa 10 Dis 2025, menjadikannya negara pertama di dunia yang berbuat demikian.

Malaysia turut mengambil pendekatan serupa dengan had umur minimum 16 tahun untuk akses media sosial dijangka dilaksanakan seawal Julai tahun ini.

Langkah itu, yang bertujuan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan dalam talian yang tidak sesuai, dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2026.

“Di bawah OnSA, kami telah memulakan perbincangan dengan penyedia platform. Kami kini berada di peringkat medan ujian regulatori untuk mengenal pasti cara terbaik, paling berkesan dan selamat bagi menjalankan pengesahan umur. Pada masa ini, kami masih di fasa perbincangan dan perancangan dengan penyedia platform,” kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Sekatan terhadap akses kanak-kanak ke media sosial semakin giat diterima pakai oleh negara-negara di seluruh dunia, manakala banyak negara lain sedang mempertimbangkan langkah yang sama.

Menurut Anadolu, China yang mempunyai antara sistem kawalan digital paling ketat di dunia, mengehadkan penggunaan aplikasi untuk kanak-kanak bawah 18 tahun, dengan had harian ditetapkan selama dua jam bagi umur 16 hingga 17 tahun, satu jam untuk umur lapan hingga 15 tahun, dan 40 minit bagi kanak-kanak di bawah lapan tahun.

Semua kandungan mesti diluluskan oleh Pentadbiran Ruang Siber China, manakala versi TikTok di China iaitu Douyin, menawarkan mod kanak-kanak dengan kandungan pendidikan, selain kebanyakan platform media sosial utama berpangkalan di AS kekal diharamkan.

Denmark mencapai persetujuan pada 7 Nov tahun lepas untuk melarang pengguna bawah 15 tahun daripada mengakses platform media sosial.

Sepanyol pula meluluskan rang undang-undang pada Jun 2024 yang menaikkan had umur sah bagi persetujuan perlindungan data daripada 14 kepada 16 tahun, manakala Norway telah mengenakan had yang dikaitkan dengan kematangan digital, menurut laporan itu.

Perdana Menteri Finland Petteri Orpo dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer berkata negara mereka sedang mempertimbangkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 15 dan 16 tahun, atas faktor kebimbangan terhadap penurunan aktiviti fizikal dan penglibatan dalam hobi dalam kalangan belia serta risiko terjebak ke dalam "dunia tatal tanpa henti, cemas dan perbandingan".

Di Turkiye, Perhimpunan Kebangsaan Agung sedang membincangkan potensi larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 15 tahun, manakala draf rang undang-undang yang merangkumi peraturan itu dijangka diserahkan kepada jawatankuasa parlimen berkaitan menjelang akhir Januari.

Di Amerika Syarikat pula, sistem persekutuan menyebabkan persekitaran kawal selia yang berpecah-belah bagi pengesahan umur dan persetujuan ibu bapa dengan beberapa negeri, termasuk Florida, sedang mempertimbangkan larangan terhadap platform tertentu, manakala usaha perundangan masih diteruskan di negeri-negeri lain.

Di Belanda, sokongan untuk melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah 16 tahun semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan Generasi Z.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2517431