KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan untuk menghidupkan semula saman RM1.9 juta yang difailkan terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Najib, 72, memfailkan notis usul pada 10 Feb lepas bagi memohon kebenaran merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak saman itu.
Dalam notis usul itu, Najib mengemukakan tiga persoalan undang-undang untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan dan memohon dibenar memfailkan notis rayuan dalam tempoh sebulan selepas kebenaran merayu diberikan.
Peguam Yudistra Darma Dorai, yang mewakili Najib, ketika dihubungi Bernama memaklumkan bahawa permohonan itu akan didengar pada 30 Julai ini.
Pada 13 Jan lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ravinthran N. Paramaguru bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa saman itu pramatang kerana kes jenayah belum bermula ketika ia difailkan.
Pada 25 Nov 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib tanpa perbicaraan penuh.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan saman tersebut pada 22 Okt 2021 yang mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya apabila mendakwa beliau berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi saman itu, Najib mendakwa Thomas telah bertindak secara berniat jahat apabila memfailkan pertuduhan terhadap beliau berkaitan kes 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Pertuduhan itu termasuk salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Antara lain, Najib memohon deklarasi mahkamah bahawa Thomas telah melakukan tort salah laku dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta merangkumi kos yang ditanggung bagi melantik pasukan audit untuk menyemak dokumen serta menyediakan pembelaan bagi prosiding jenayah.
Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.
-- BERNAMA