KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2026 dijangka meningkat kepada RM4,350 satu tan, naik RM150 setiap tan berikutan keadaan bekalan jangka pendek yang lebih terhad, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Dalam satu nota hari ini, HLIB berkata harga MSM dijangka kekal tinggi pada RM4,500–RM4,600 satu tan bagi suku kedua 2026 sebelum beransur menjadi sederhana mulai suku ketiga 2026.
“Andaian harga MSM jangka panjang kami tidak berubah pada RM4,200 satu tan dari 2027, seiring dengan pemulihan bekalan secara berperingkat.
“Berdasarkan anggaran kami, setiap kenaikan RM100 satu tan dalam purata unjuran harga MSM akan meningkatkan jangkaan pendapatan bagi syarikat perladangan di bawah liputan kami antara tiga hingga lapan peratus,” katanya.
HLIB berkata konflik Asia Barat menyebabkan kejutan pelbagai saluran, sekali gus menaikkan harga MSM melalui permintaan yang berkaitan dengan tenaga dan ketegangan bekalan jangka pendek.
“Kenaikan kos baja mungkin mendorong penukaran tanaman kepada kacang soya, mengehadkan potensi kenaikan jangka sederhana. Gangguan logistik pula menambah premium sementara.
“MSM juga berperanan sebagai penunjuk harga minyak mentah. Harga minyak mentah yang tinggi akan mengukuhkan ekonomi biodiesel, meningkatkan permintaan bagi minyak sayuran dan menegaskan peranan MSM sebagai penunjuk pasaran tenaga,” katanya.
HLIB mengekalkan saranan “wajaran tinggi” ke atas sektor ini, khususnya kepada syarikat penanam sawit di peringkat pengeluaran yang mempunyai kos terkawal dan margin keuntungan yang lebih stabil.
Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd berkata harga MSM terus meningkat (+19 peratus sejak permulaan konflik Asia Barat kepada purata setakat tahun ini RM4,188 satu tan), didorong kenaikan harga minyak mentah (+46 peratus sejak permulaan perang) dan kesannya yang lebih meluas.
“Impak paling ketara adalah kemungkinan pengenalan atau peningkatan mandat penggunaan biodiesel di Indonesia dan peringkat global.
“Di Malaysia, terdapat perbincangan mengenai pelaksanaan semula mandat B20 biodiesel. Beberapa ahli politik berkata mandat B20 akan lebih murah sebanyak 20 sen seliter berbanding harga pasaran semasa,” katanya.
Mandat B10 semasa di Malaysia menggunakan 1.3–1.4 juta tan MSM, manakala mandat B20 akan menggandakannya.
-- BERNAMA